syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh, Wee Yu Nee atau lebih dikenali sebagai Mek Yun meluahkan rasa kecewa apabila akaun TikToknya yang sudah memiliki 1.4 juta pengikut, digam (ban) dan lenyap.
Mek Yun, 28, berkata, rasa sedih itu bukan sahaja kerana kehilangan akaun TikTok itu, tetapi juga pelbagai kenangan yang pernah dikongsikan di platform itu dengan semua pengikutnya.
“Saya dan Abe Wee (abangnya) rasa ‘down’ sangat. Saya satu malam menangis semalam. Bukan TikTok Abe Wee saja kena ‘ban’, TikTok saya pun kena ‘ban’.
“Bayangkan, bertahun-tahun saya bina platform itu sampai naik 1.4 juta pengikut, setiap video dan setiap memori yang kami kongsikan dengan kalian hilang dalam sekelip mata.
“Saya tak faham, apa salah saya. Kandungan (content) saya hanya untuk sebarkan nilai positif, kebahagiaan dan kongsikan hidup saya dengan kalian. Tapi, semua itu hilang begitu saja tanpa amaran,” katanya.
Platform itu juga menjadi tempatnya mencari rezeki sebagai pempengaruh dan pencipta kandungan.
“Lebih sakit, ini adalah karier saya sebagai seorang pencipta kandungan (content creator).
Sementara itu, saya buka akaun baharu ini sebab saya takkan putus asa buat kandungan untuk kalian semua. Sedih,” katanya.
Selain Mek Yun, akaun TikTok abangnya yang juga pempengaruh, Abe Wee turut lenyap.
Terdahulu, Mek Yun, Abe Wee dan keluarga mereka mula mencipta nama selepas hadir dengan pelbagai kandungan di TikTok memaparkan kehidupan mereka dan kefasihan mereka bertutur dalam Bahasa Melayu dan loghat Kelantan.
© New Straits Times Press (M) Bhd