Mekanik Dipenjara Kerana Sepak Anak Kucing Hingga Mati, Beri Alasan Tertekan Kucing Selalu Berak Depan Rumah

Mekanik Dipenjara Kerana Sepak Anak Kucing Hingga Mati, Beri Alasan Tertekan Kucing Selalu Berak Depan Rumah

Trending

Seorang mekanik didenda RM60,000 kerana membunuh seekor kucing. Gagal bayar denda, dia kemudian dipenjara 22 bulan.


Perbuatan kejam terhadap haiwan akhirnya membawa padah apabila seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seekor anak kucing.

Kes sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian tular di media sosial.

Gagal bayar denda, OKS dipenjara 22 bulan

Kucing

Memetik laporan Harian Metro, Orang Kena Saman (OKS) bernama Mohd Daniel Hakim Abdullah berdepan penjara selama 22 bulan di Penjara Kajang selepas gagal membayar denda sebanyak RM60,000.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 4.50 pagi hingga 5 pagi di hadapan sebuah unit rumah di Pangsapuri Melati, Seksyen U16, Shah Alam pada 3 Oktober 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kejadian dirakam CCTV

Berdasarkan fakta kes, lelaki tersebut menemui dua ekor anak kucing sebelum memasukkan haiwan itu ke dalam beg kitar semula.

Dia kemudian membawa anak kucing itu ke hadapan sebuah unit rumah sebelum mencampakkannya ke lantai dan menyepak kedua-duanya.

Seekor anak kucing berwarna hitam turut diletakkan di atas tembok dapur rumah jirannya.

Kucing
Foto Harian Metro Faiz Anuar

Mohd Daniel Hakim dengan kejamnya telah menyepak dan mencampak anak kucing berwarna putih sehingga menyebabkan kematian haiwan itu.

Perbuatan itu bagaimanapun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum video tersebut tular di media sosial.

Hasil bedah siasat oleh Pegawai Veterinar dari Makmal Veterinar Zon Tengah mendapati anak kucing tersebut mengalami kecederaan serius termasuk retak pada tengkorak, pendarahan pada paru-paru serta patah tulang rusuk.

Semasa prosiding, peguam Amirah Badriyah Azahar memohon hukuman penjara yang lebih singkat kerana tertuduh tidak mampu membayar denda selain mempunyai masalah kesihatan.

Menurut peguam, OKS menghadapi tekanan kerana berang dengan kucing tidak bertuan yang selalu berak di depan rumahnya.

Difahamkan, terdapat tiga atau empat ekor kucing tidak bertuan selalu membuang najis di hadapan rumahnya dan OKS selalu membersihkan najis itu yang mana air berkenaan turun ke rumah unit bawah seterusnya menyebabkan jirannya marah.

Tambah peguam, banyak aduan sudah dibuat ke pihak pengurusan pangsapuri dan kejadian berlarutan sejak sekian lama.

Itu memberi tekanan pada OKS sehingga dia hilang pertimbangan, dengan perasaan serta emosi marah telah mencampak serta menyepak anak kucing berkenaan. OKS kesal dan mohon hukuman penjara singkat.

Pendakwaan kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran.

Pssttt! Kemarahan atau tekanan hidup tidak sepatutnya dilepaskan kepada haiwan yang tidak berdaya. Walaupun masalah kucing liar sering menjadi isu di kawasan perumahan, kekejaman bukanlah penyelesaian. Semoga hukuman ini menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berperikemanusiaan terhadap haiwan.

Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

author avatar

Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.

Scroll to Top