Mekanik ditahan miliki lima senjata api

Mekanik ditahan miliki lima senjata api

ALOR SETAR: Seorang mekanik yang juga pengusaha bengkel ditahan polis setelah dipercayai memiliki lima unit senjata api dalam serbuan di sebuah premis membaiki kenderaan di Baling, Jumaat lalu.

Suspek lelaki berusia 45 tahun itu disyaki memperolehi kesemua senjata itu dari negara jiran dengan harga antara RM1,300 ke RM1,500 yang dibawa masuk melalui sempadan di Pengkalan Hulu, Perak.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, antara yang dirampas adalah pistol jenama Colt, pistol berjenama Forjas Taurus, dua laras senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol tiruan buatan Taiwan.

“Setakat ini siasatan terhadap kegunaan suspek membabitkan senjata api itu masih dilakukan, namun buat masa ini kita dapati ia sebagai koleksi dan tiada unsur untuk kegiatan jenayah atau diperdagangkan.

“Senjata-senjata ini dibeli sejak awal tahun lepas daripada kenalannya di negara jiran, manakala senapang angin mengambil masa tiga bulan untuk dihasilkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah, hari ini.

Adzli berkata, penghasilan bahagian-bahagian senjata tersebut diperolehi daripada barang terpakai dan belian di kedai-kedai peralatan serta perkakasan binaan di sekitar Baling.

Katanya, suspek direman sehingga 7 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana disyaki berdagang senjata api dan Seksyen 8(a) serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki amunisi tanpa permit dan senjata tiruan.

Sementara itu dalam kejayaan berasingan, polis menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri yang menganggotai Geng Atan kerana terlibat kegiatan khianat berkaitan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ahlong.

“Pada 16 April, polis menerima laporan di Sungai Petani melibatkan sebuah kenderaan dibakar di hadapan rumahnya yang kejadian itu didapati berunsur ugutan terhadap mangsa yang kononnya gagal membayar pinjaman dibuat secara dalam talian.

“Berikutan itu, beberapa siri serbuan sejak 26 April berjaya menahan empat suspek lelaki dan seorang perempuan berusia 31 hingga 43 tahun yang memainkan pelbagai peranan seperti menyimbah cat dan membakae kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu bergerak secara aktif dan terancang di Sungai Petani sejak Februari lalu dengan menerima upah antara RM300 hingga RM600 bergantung perbuatan jenayah dilakukan.

Katanya, polis masih memburu dua ahli kumpulan itu serta seorang individu yang merupakan dalang kepada kegiatan pinjaman tanpa lesen itu.-UTUSAN

Scroll to Top