Mekanik maut dirempuh di Lebuhraya SUKE, pemandu e-hailing ditahan

Mekanik maut dirempuh di Lebuhraya SUKE, pemandu e-hailing ditahan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kajang: Aksi berbahaya pemandu e-hailing yang memotong melulu bertukar tragedi apabila seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dari arah belakang dalam kejadian di Kilometer (KM) 0.3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada jam 5.56 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati pemandu kereta dari arah Kajang memandu laju sebelum masuk ke susur menuju Ampang secara melulu dan memotong kenderaan di hadapan lalu merempuh motosikal di lorong kanan.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa lelaki tempatan berumur 24 tahun yang bekerja sebagai mekanik mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan putus tangan kiri serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu kenderaan iaitu lelaki tempatan berumur 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta berhati-hati semasa memandu.

Terdahulu tular di media sosial, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan detik sebuah motosikal dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang dipandu melulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top