SAINGAN Liga e-Sukan Malaysia 2021 (MEL21) yang dijadualkan berlangsung mulai 10 Julai hingga 10 September 2021 depan bakal menyaksikan penyertaan daripada pemain-pemain amatur dan separuh profesional (semi-profesional), dari seluruh negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) e-Sukan Bersepadu (ESI), Ahmed Faris Amir, penyertaan pemain-pemain berkenaan (amatur dan semi-profesional) dibuat dalam usaha memberikan peluang kepada lebih ramai penggiat e-Sukan di negara ini untuk terlibat dengan penganjuran MEL 21.
“Kebanyakan kejohanan (e-Sukan) yang berlangsung di Malaysia selama ini hanya memberikan galakan kepada penglibatan pemain profesional sahaja, manakala pemain amatur dan semi-profesional hanya berpeluang untuk bertanding di pertandingan berskala lebih kecil.
“Justeru, ini adalah jurang yang mahu dirapatkan oleh MEL21 dan selain itu, penganjuran pertama MEL21 diharap dapat membantu pembangunan pemain selain mengembangkan lagi bakat masing-masing yang akan ditonjolkan kepada semua.
“Secara keseluruhannya, kami berasa amat gembira dapat menganjurkan MEL21 bersama-sama dengan 16 persatuan e-sukan negeri, sebuah kerjasama yang dijangkakan berterusan untuk edisi-edisi yang akan datang.” katanya sempena pelancaran MEL21 yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, 3 Julai lalu.
Difahamkan, EL21 yang dianjurkan oleh ESI, sebuah inisiatif di bawah kawal selia KBS, dengan kolaborasi bersama 16 buah persatuan e-Sukan negeri dan bakal berlangsung dalam dua peringkat: Liga Negeri dan Kebangsaan, dengan mempertandingkan 4 buah permainan yang cukup popular dalam kalangan peminat esukan: PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), EA Sports FIFA21 dan Dota 2.
Sementara itu Reezal Merican berakta, matlamat MEL21 secara keseluruhannya adalah untuk menyediakan sebuah platform yang mapan kepada pemain akar umbi di semua peringkat (amatur, semi-profesional dan profesional) untuk bertanding dan menyerlahkan bakat mereka menerusi sebuah liga e-sukan kebangsaan.
Katanya, saingan MEL21 juga hanya akan berlangsung secara atas talian, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), Fasa 1.
“MEL 21 adalah sebagai sebahagian daripada Pelan Rangka Tindakan e-Sukan Kebangsaan KBS dan melalui Esports Integrated (ESI), sebuah liga e-Sukan peringkat negeri dan kebangsaan akan berlangsung bermula dari 10 Julai ini hingga 10 September 2021 dengan tawaran hadiah terkumpul melebihi RM200,000.
“Penganjuran dan pelaksanaan MEL21 melalui inisiatif ESI adalah merupakan salah satu fokus utama strategik dibawah Pelan Rangka Tindakan e-Sukan KBS dan Bajet 2021 dan ia bertujuan untuk membangunkan ekosistem e-Sukan negara yang rancak, mapan dan inklusif,” katanya.



