IPOH: Perak FC menghampiri zon penyingkiran selepas tewas 0-1 di tangan Melaka United di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Jaringan tunggal Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-61 sudah cukup menambah derita Perak yang bergelut dengan masalah prestasi dalam 10 perlawanan musim ini.
Ia kekalahan kelima dialami skuad Bos Gaurus selain hanya menang dua kali dan seri tiga kali yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-10 liga.
Bagi Melaka United pula, kemenangan di gelanggang lawan itu sudah pasti melegakan pengendalinya, Zainal Abidin Hassan yang sebelum ini dikatakan sudah diberi kata dua oleh pengurusan kelab berikutan prestasi tidak menentu.
Kemenangan ke atas skuad kendalian Chong Yee Fatt itu turut menyaksikan Melaka United naik ke tangga kelapan liga selepas mengumpul 10 mata, hanya berbeza satu mata dari Perak.
Selepas mengharungi 10 aksi liga musim ini, Melaka United merekodkan tiga kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




