sukan@hmetro.com.my
Melaka: Pasukan Melaka FC (MFC) berazam memperoleh tiga mata biarpun berdepan laluan getir bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.
Pengurus pasukan MFC ,Muhammad Najmi Mohd Nordin berkata, skuad Hang Tuah menyedari kesungguhan skuad tuan rumah untuk menafikan hasrat Melaka meraih kemenangan tambahan pula aksi di laman mereka.
Bagaimanapun tiada perkara yang mustahil dalam bola sepak kerana apa yang penting usaha dan komitmen serta fokus jitu sepanjang minit perlawanan mampu membuahkan hasil kepada mana-mana pasukan sekali pun.
Baginya, dia memahami matlamat NS yang mahu menebus kehampaan tewas 0-2 kepada MFC pada pusingan pertama di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebelum ini.
“Apapun pertemuan kali ini jelas berbeza buat MFC mahupun N9 sama ada dalam susunan pemain dan taktikal namun kami tetap mengintai kutipan mata maksimum dalam usaha memperbaiki kedudukan di carta liga.
“Kita tahu tugasan pemain malam esok bukan mudah tapi seluruh pasukan sudah bersedia jadi kami sasarkan untuk pulang dengan tiga mata,” katanya.
Dalam pada itu, prestasi membanggakan biarpun tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu menjadi taruhan kepada pasukan berkenaan untuk tampil cemerlang kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




