Melaka kena potong 3 mata

Melaka kena potong 3 mata

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Melaka United (MU) dilanda ‘dejavu’ selepas sekali lagi dikenakan pemotongan tiga mata serta mata oleh First Instance Body (FIB) susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa lain.

Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan itu pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2021 berjaya membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.

Namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, Melaka didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata.

Dalam satu kenyataan, FIB mengharapkan keputusan itu dijadikan teladan untuk memastikan Melaka mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang.

“Jika pasukan terbabit mengulangi kesalahan yang sama, perkara itu akan dibawa ke FIB untuk keputusan dan tindakan yang seterusnya,” katanya.

Dengan pemotongan mata ini, Melaka ‘tergelincir’ ke tangga ke-10 Liga Super dengan satu mata sekalipun sudah mengharungi empat perlawanan.

Pada musim lalu, MU juga pernah menerima padah apabila dikenakan pemotongan tiga mata serta merta susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Dalam mesyuarat itu juga, FIB turut membincangkan kes membabitkan Sarawak United dan juga Kelantan FC.

“FIB mengambil maklum usaha dan komitmen Sarawak United FC dan Kelantan FC dalam menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

“Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau dan memastikan kedua-dua pasukan itu terus menunjukkan komitmen dalam menangani isu ini sehingga selesainya baki tunggakan berkenaan,” kata FIB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top