Melaka lancar Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala KM

Melaka lancar Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala KM

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Lebih 7,000 menyertai Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 yang berlangsung di Melaka bermula 18 Januari depan.

Majlis pelancaran dua kejohanan itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof di Lapang Sasar Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.

Rauf berkata, buat julung kalinya, kerajaan negeri menganjurkan kejohanan sukan membabitkan 11 penggerak barisan hadapan badan beruniform di negeri berkenaan.

Katanya, kejohanan terbabit disertai anggota Tentera Darat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Menurutnya, kontinjen lain termasuk Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Jelasnya, program selari dengan konsep perpaduan Malaysia Madani sekali gus menyatukan menyemarakkan semangat perpaduan dan kesukanan antara semua badan beruniform melalui kejohanan berkenaan.

“Penghargaan kepada kepada urus setia, khususnya ATM dari Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, 10 Briged (PARA), Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah, Kem Bukit Beruang, JAPERUN Tanjung Bidara, JAPERUN Sungai Udang dan semua yang terbabit.

“Wahana sukan seumpama ini bukan sekadar sebuah platform pertandingan, tetapi juga sebagai lambang perpaduan, memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan menjalin silaturrahim antara tentera, agensi kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Rauf berkata, bermula 18 hingga 31 Januari bakal berlangsung Sukan Dua Jiwa Satu Hati yang membabitkan kira-kira 3,171 penyertaan.

Sebanyak 6 acara sukan akan dipertandingkan, antaranya bola sepak, sepak takraw, bola jaring, futsal, badminton dan golf.

Kesemua acara ini akan berlangsung secara serentak di pelbagai lokasi dalam Kem Terendak.

Sementara pada 1 hingga 14 Februari menyaksikan 11 Badan Beruniform dengan keseluruhan 3,035 peserta yang bakal berentap menerusi Kejohanan Sukan Badan Beruniform.

Rakyat juga berpeluang untuk turut serta sewaktu kemuncak kejohanan ini iaitu pada 15 dan 16 Februari 2025 di Pantai Tanjung Bidara yang turut menyajikan sukan Bola Tampar Pantai , Tarik Tali, Konda Kondi, Fun Run dan Dam Aji.

Apa yang menarik kejohanan disertai lebih ramai lapisan masyarakat termasuk pada kemuncak kejohanan yang turut menyajikan pelbagai aktiviti lain sekali gus mencatat jumlah penyertaan keseluruhan yang lebih besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top