Melaka mungkin banjir lagi

Masjid Tanah: Semua agensi penyelamat diarah bersiap sedia susulan cuaca tidak menentu yang dibimbangi boleh menjadi punca bencana banjir di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah, iaitu Pengkalan Rama Pantai, Taman Merdeka, Taman Sri Krubong, Taman Krubong Jaya dan Kampung Tampoi di sini, sejak semalam, perlu diambil perhatian serius.

Selain memastikan bilik gerakan banjir di daerah Melaka Tengah bersiap sedia untuk beroperasi 24 jam, beliau meminta agensi kerajaan lain memastikan keselamatan komuniti dan penduduk sentiasa diberi perhatian utama.

“Pejabat Daerah Melaka Tengah dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sudah diarahkan mengambil tindakan segera bagi menghadapi banjir kilat. Jika ada yang perlu dipindahkan, ia harus dilakukan segera,” katanya selepas program Sihat @ Masjid Tanah di dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Lendu, di sini, semalam.

Program dengan kerjasama Hospital Pakar Putra itu menyediakan peluang untuk anggota komuniti menjalani pemeriksaan kesihatan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) hospital itu, Dr Muhammad Akmal Salleh.

Difahamkan hujan lebat berlaku sejak jam 6 petang semalam menyebabkan air sungai dan parit melimpah.

Lima kereta yang melalui jalan berhampiran persimpangan Taman Krubong Perdana di sini, ditenggelami banjir.