sukan@hmetro.com.my
Melaka: Pasukan bola jaring Melaka Mystic menyasarkan lima terbaik pada Liga Super Bolajaring atau Netball Super League (NSL) 2026 yang bakal berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara pada 18 April hingga 10 Mei depan.
Penolong jurulatih skuad terbabit Mohd Faizal Rashid berkata, latihan sistematik dan aksi persahabatan sejak Januari lalu di sekitar bandaraya Melaka dan Kuala Lumpur mampu memberi impak kepada sasaran berkenaan.
Katanya, kehadiran dua import dari Jamaica dan Zimbabwe juga dijangka mampu meningkatkan keyakinan pemain tempatan untuk menterjemah permainan mantap dalam masa sama mengintai tempat yang lebih baik.
Menurutnya, biarpun berdepan dengan laluan sukar bertemu pasukan hebat di negara ini namun tekad pasukan tetap untuk menampilkan kualiti dan keputusan yang memberangsangkan tanpa mengira halangan lawan.
“Thandazile Ndhlovu dari Zimbabwe yang juga pemain terbaik Kejohanan Bola Jaring Afrika 2025 di Lilongwe, Malawi selain Roxonna Nicholisa McLean dari Jamaica yang juga kapten pasukan remaja Jamaica di Kejohanan Remaja Dunia 2025, Gibraltar bakal berganding bersama bekas pemain remaja kebangsaan, Khairul Najwa Sholahuddin.
“Pengalaman mereka ditagih untuk berdepan lawan selain mereka juga bakal digandingkan bersama pemain lain yang pernah beraksi bersama pasukan terbaik dari Terengganu Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Melaka,” katanya.
Pasukan terbabit turut ceria menerima tajaan RM50,000 daripada Istana Melaka yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Dr Asmah Abd Rahman kepada Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Melaka, Zainon Md Noh di Istana Melaka hari ini.
Katanya, persatuan amat berterima kasih atas tajaan terbabit justeru sudah pasti motivasi kepada mereka untuk membentuk persefahaman terbaik sepanjang kejohanan.
Fazial berkata, justeru menerusi gandingan pemain dan barisan pengurusan yang dedikasi skuad berkenaan mengharapkan mereka bakal tampil dengan agresif kali ini biarpun beberapa pemain digandingkan buat pertama kali dalam liga berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




