am@hmetro.com.my
Melaka: Negeri Melaka dikejutkan dengan kebakaran berantai apabila sebanyak 20 lokasi dilaporkan terbakar dalam tempoh hanya 12 jam dipercayai berpunca daripada cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.
Lebih membimbangkan, api turut marak di kawasan berhampiran penempatan penduduk antaranya di Taman Krubong Indah, Kampung Solok Mak Yah, Paya Rumput, Taman Merdeka Jaya, Taman Bachang Baru serta kawasan Residence Prima dan A’Famosa namun berjaya dikawal dan dipadamkan pasukan bomba.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, kesemua kejadian kebakaran yang berlaku direkodkan antara jam 6 pagi hingga 6 petang, hari ini.
Menurutnya, beberapa insiden dilaporkan berlaku dalam jarak masa yang singkat, sekali gus memberi cabaran kepada pasukan bomba yang terpaksa bergerak pantas dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Kebakaran terbuka membabitkan belukar, lalang dan sampah adalah majoriti kes, menunjukkan peningkatan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan awam dan perumahan.
“Kebakaran berskala kecil berjaya dipadamkan dalam tempoh kurang 30 minit manakala kebakaran berskala besar membabitkan keluasan sehingga 15 ekar memerlukan operasi pemadaman berpanjangan lebih enam jam termasuk pemantauan, pemadaman menyeluruh dan kawalan titik panas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, cuaca panas dan kering selain faktor aktiviti manusia dikenal pasti sebagai antara punca kejadian kebakaran berkenaan.
Kejadian kebakaran turut membabitkan pelbagai lokasi termasuk Jalan Kuala Ina, Kampung Tanah Merah Baru, Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) Sungai Petai, Kampung Janda Berhias, Kampung Langkap dan Sungai Udang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




