Melaka sekat rentak cemerlang Selangor

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Melaka United (MU) menyekat rentak cemerlang Selangor FC (SFC) apabila mengikat pasukan tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain 1-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ini menyaksikan hasrat The Red Giants untuk merakam kemenangan kelima berturut turut tidak kesampaian selepas lebih banyak bertahan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh lebih sejam.

Selangor terlebih dahulu di hadapan apabila hantaran Ifedayo Olusegun disudahkan dengan kemas oleh Hein Htet Aung pada minit ke-17 sebelum tersentak apabila Ashmawi Yakin dilayangkan kad merah pada minit ke-27.

Berkelebihan seorang pemain, Melaka sentiasa mengasak Selangor dan usaha keras mereka membuahkan hasil apabila Manuel Ott meledak gol penyamaan pada minit akhir untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Selepas ini, The Red Giants akan berdepan Sabah FC di laman lawan sebelum aksi terakhir menentang PJ City FC sementara Melaka pula akan bertemu Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Comment