Melaka, Sri Pahang kongsi mata

Melaka, Sri Pahang kongsi mata

bhsukan@bh.com.my

MELAKA: Melaka United (MU) FC terus buntu meraih kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini selepas terikat 0-0 berdepan Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam tadi.

Keputusan itu bagaimanapun mengelak kekalahan ketiga berturut-turut buat Sri Pahang selepas tewas 1-3 kepada Selangor FC dan 0-2 di tangan Perak FC sebelum ini.

Dalam aksi malam tadi, peluang terbaik tuan rumah membuka jaringan hadir menerusi sayap lincah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke -25 dan ke-40.

Malah Sri Pahang juga memiliki peluang merobek gawang tuan rumah menerusi Muhammad Jadid ilias dan Baqiuddin Shamsudin pada minit ke- 35 dan ke-37 tapi buntu.

Bersambung babak kedua skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan lebih kerap melakukan asakan menerusi percubaan pertama Sony Norde pada minit ke-54 tetapi tepat menuju kedakapan penjaga gol gantian Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin dan tolakannya pada minit ke-90 sekadar terkena tiang gol pelawat.

Malah sebelumnya, rembatan S Kumaahran juga hanya menggegar palang gol lawan pada minit ke-72 ketika Zarif sudah tertewas. Keputusan kekal 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top