Jasin: Kerajaan Melaka telah mewartakan kira-kira 1,000 hektar tanah sawah di negeri ini berkuat kuasa sejak awal tahun ini sebagai komitmen berterusan dalam memelihara kawasan pertanian, dan memperkukuh jaminan bekalan makanan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pewartaan itu telah diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan melibatkan kawasan sawah di tiga daerah.
“Tanah sawah yang telah digazetkan ini tidak boleh dibangunkan sewenang-wenangnya termasuk bagi tujuan pembangunan tanpa mendapat kelulusan kerajaan negeri melalui keputusan Exco.
“Kita mahu pastikan kawasan tanah sawah ini dipelihara. Jika ada permohonan pembangunan, ia perlu melalui pertimbangan dan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di Dataran Orang Kampung, Merlimau, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Program Karnival Jualan Agro MADANI peringkat negeri, dan turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelangsungan kawasan sawah di negeri ini, dan mengelakkan ia dijual berikutan trend generasi ketiga dan keempat pemilik tanah yang kurang terlibat secara langsung dalam aktiviti penanaman padi.
Sekiranya keadaan itu berterusan, negeri berisiko kehilangan lebih banyak kawasan sawah dalam tempoh 10 tahun akan datang sehingga menjejaskan bekalan makanan untuk generasi seterusnya.
Dr Muhamad Akmal berkata ketika ini tahap pengeluaran beras Melaka hanya mampu menampung kira-kira 12 peratus keperluan negeri.
“Apabila kita gazetkan tanah sawah ini, ia membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam memelihara aset pertanian dan menjamin bekalan beras untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan Persekutuan untuk menjadikan negeri di Zon Selatan sebagai negeri jelapang padi, dan ia dilihat mampu memperkukuh sektor tersebut secara lebih tersusun dan berdaya saing.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merangka strategi bagi menjadikan negeri-negeri di selatan merangkumi Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor sebagai kawasan jelapang padi baharu, selari dengan sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara kepada 80 peratus menjelang 2035.
© New Straits Times Press (M) Bhd




