Beijing: Seorang wanita muda di China meraih populariti di media sosial kerana melancong ke 42 bandar di dalam dan luar negara dengan perbelanjaan hanya 20,000 yuan (kira-kira RM11,959), tahun lalu.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan blogger platform media sosial Douyin dikenali sebagai Xinxin, 25, itu mengikut trend pengembaraan ‘iron butt’.
Trend itu bermaksud pengembaraan dalam kalangan generasi muda yang bukan sahaja mencari tiket murah, malah sanggup menghabiskan lebih banyak masa di jalan raya dengan pengangkutan darat kerana kekangan bajet.
Xinxin yang berasal dari wilayah Jiangxi di tenggara China itu adalah graduan ijazah sarjana dari sebuah universiti di wilayah Yunnan tahun lalu, tetapi belum mendapat pekerjaan tetap.
Namun, dia sudah mengembara di 42 bandar termasuk di Tanah Besar China, Rusia, Thailand dan Indonesia seperti yang dilaporkan portal berita The Cover.
Sebelum memulakan setiap perjalanan, dia mencari maklumat di laman web perjalanan untuk mendapatkan tambang penerbangan dan kereta api paling rendah untuk memaksimumkan penggunaan wang simpanannya.
Sebagai contoh, dia hanya menggunakan sebanyak 4,000 yuan (kira-kira RM2,392) pada Januari untuk mengembara dari kampung halamannya di Jiangxi ke Murmansk, Rusia untuk menyaksikan pesta cahaya.
Perjalanan itu termasuk penerbangan transit dari Wuhan, di wilayah Hubei tengah, ke Beijing kemudian Moscow, dengan kos 1,600 yuan (kira-kira RM957).
Dia juga menggunakan penerbangan domestik di Rusia dengan harga sekitar 100 yuan (kira-kira RM60) setiap satu.
Selain itu, dia turut memperoleh tiket kereta api percuma dari kampung halamannya ke Wuhan melalui program pertukaran mata di laman web jualan tiket.
Semasa berada di Bali, Indonesia, pula Xinxin menemui sebuah hotel yang mengenakan bayaran hanya 80 yuan (kira-kira RM48) satu malam.
“Ramai yang berpandangan melancong memerlukan kos tinggi, tapi sebelum setiap perjalanan, saya akan mengira kos pengangkutan dan penginapan dengan sangat teliti, terutama mengenai faedah tersembunyi yang boleh diperoleh dari platform (laman web) perjalanan,” kata Xinxin.
Beliau berkata, ramai pengguna laman web pelancongan terkemuka tanah besar tidak menyedari mereka boleh mengakses perkhidmatan teksi percuma dari lapangan terbang atau stesen kereta api ke hotel mereka, dengan syarat jaraknya dalam lingkungan lima kilometer (km) atau 10 km apabila mereka membeli tiket melalui sesuatu laman web.
“Melancong dengan bajet minimum tidak bermaksud berdepan pengalaman buruk. Dengan persediaan yang rapi, anda boleh menikmati banyak perkara dengan perbelanjaan murah,” tegasnya.
Antara pengembara ‘iron butt’ lain berasal dari China adalah seorang lelaki berusia awal 20-an yang mengembara dari Yunnan ke Laos, Thailand dan Malaysia selama 20 hari, dengan membelanjakan hanya 5,000 yuan (kira-kira RM2,990) secara keseluruhan.
Bagaimanapun, dia hanya bergantung pada kereta api dan bas sebagai medium pengangkutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




