MELANGKAUI KISAH DONGENG: MENGANGKAT KISAH BUDAYA DALAM BUKU KANAK-KANAK

Kuala Lumpur: Bagi kebanyakan kanak-kanak, buku bergambar adalah laluan pertama mereka ke dunia luar. Menerusi halaman penuh warna dan bahasa yang ringkas, di situlah mereka mula memahami emosi, meluaskan minda, dan melihat cerminan diri dalam cerita yang dibaca.

Di Malaysia, semakin ramai ibu bapa, pendidik, dan penggiat kreatif mula menyedari bahawa buku bergambar bukan sekadar hiburan atau bahan literasi. Buku-buku ini membantu kanak-kanak mengenal perasaan, membentuk identiti, dan memahami budaya yang berbeza. Walaupun kebanyakan buku kini datang dari pelbagai pelosok dunia, keperluan untuk memiliki cerita yang terasa dekat di hati tetap penting. Cerita yang menggunakan bahasa kita, mencerminkan nilai kita, dan secara halus memperkenalkan kanak-kanak kepada dunia yang lebih luas.

Salah satu karya yang menepati matlamat ini ialah Puteri-Puteri Legenda dari Serata Dunia, sebuah buku bergambar kanak-kanak yang mengambil masa hampir sedekad untuk diterbitkan. Bagi Emila Yusof, seorang penulis dan ilustrator tanah air, buku ini bukan sekadar buku kanak-kanak yang biasa. Ia adalah hasil usaha penuh kasih sayang yang telah dinantikan selama lapan tahun untuk direalisasikan.

Puteri-Puteri Legenda dari Serata Dunia dilancarkan baru-baru ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2025), buku ini menandakan karya ke-44 Emila dalam kategori buku bergambar kanak-kanak, dan merupakan satu daripada lebih 70 buah buku yang telah dihasilkan beliau merentasi pelbagai genre.

Di sebalik ilustrasi yang indah, terselit himpunan cerita rakyat tentang puteri-puteri dari pelbagai budaya di seluruh dunia. Setiap satu tampil dengan kekuatan tersendiri dan menyampaikan nilai-nilai murni seperti keberanian, kebaikan, dan kebijaksanaan. Buku ini mengajak kanak-kanak menyelami legenda-legenda yang menjangkau kisah dongeng yang biasa, dan menunjukkan bahawa wanita yang hebat hadir dalam pelbagai rupa dari serata dunia.

Kini apabila buku ini berada di tangan pembaca, ia terasa seperti sesuatu yang sungguh luar biasa. Ia bukan sahaja menjadi satu pencapaian peribadi buat Emila, malah menjadi satu hadiah yang istimewa buat kanak-kanak. Walaupun kisah-kisah ini berasal dari pelbagai budaya, semuanya disampaikan dalam gaya Emila yang tersendiri. Ia terpancar melalui seni lukisannya, bahasa yang penuh makna, dan rasa hormatnya terhadap keindahan seni penceritaan.

Akses juga adalah keutamaan bagi beliau. Emila percaya bahawa buku berkualiti harus mampu dimiliki oleh setiap kanak-kanak, sama ada di bandar mahupun di kawasan luar bandar. Inilah yang mendorongnya menghasilkan Puteri-Puteri Legenda dari Serata Dunia, untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada keindahan cerita rakyat dan legenda yang melangkaui budaya Barat. Kisah-kisah ini menggalakkan pembaca muda menghargai dan meminati kepelbagaian budaya.

Dalam landskap penerbitan Malaysia yang terus berkembang, satu perkara yang harus diingati, buku kanak-kanak itu sangat penting. Apabila dihasilkan dengan penuh teliti melalui cerita yang bermakna, ilustrasi yang menyentuh hati, dan keaslian budaya, ia mampu memberi kesan yang mendalam. Menyemai rasa ingin tahu, membina rasa kebersamaan, dan membawa rasa ajaib tentang bagaimana rasanya dilihat dalam sebuah cerita.

Artikel ini ditulis oleh:
Muhammad Aneeq Adham bin Abdullah
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi dan Media (Periklanan), UiTM Shah Alam

 

Scroll to Top