Jakarta: Kegembiraan sekumpulan remaja melepak di warung makan di Jalan Monjali daerah Sleman, hingga awal pagi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dan seorang lagi parah dipukul penduduk yang berang sebab keengganan mereka mematuhi arahan supaya beredar.
Kompas melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin lalu, mangsa, MTP, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya, RS, 16, kini dirawat secara intensif di hospital.
Ketua Unit 2 Jenayah, Polis Sleman, Ipda Hauzan Zaky Rizqullah berkata, kejadian hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa sekitar jam 4 pagi selepas mangsa yang cedera dibawa ke hospital.
“Berdasarkan keterangan awal yang diperoleh dari mangsa yang masih hidup, mereka dipukul oleh beberapa individu tidak dikenali ketika berada berhampiran warung makan di Jalan Monjali.
“Sekumpulan remaja termasuk mangsa berkumpul di kawasan berkenaan sebelum ditegur penduduk supaya bersurai kerana waktu sudah melepasi lewat malam, namun mereka tidak mengendahkannya.
“Permintaan untuk bersurai itu tidak dihiraukan dan tindakan itu dipercayai mencetuskan rasa marah dalam kalangan suspek hingga membawa kepada insiden serangan,” katanya.
Hauzan berkata, suspek dipercayai memukul mangsa tanpa menggunakan sebarang senjata namun menyebabkan seorang daripada mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di bahagian kepala dan badan.
Susulan siasatan dan rakaman keterangan saksi, polis berjaya menahan lima daripada tujuh suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
Mereka dikenali dengan inisial ialah S, 36; STS, 29; dan MS, 25, yang juga penduduk Sleman, manakala dua lagi suspek iaitu DKH, 24, dan YPU, 21, berasal dari Kota Yogyakarta.
Dua lagi suspek dengan nama bermula huruf awal L dan B masih diburu dan sudah dimasukkan dalam Senarai Orang Dikehendaki (DPO).
“Kita minta dua suspek sedang diburu ini segera menyerah diri sebelum tindakan lebih tegas diambil,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan bagi mendakwa kesemua suspek mengikut peruntukan jenayah menyebabkan kematian.
© New Straits Times Press (M) Bhd