Melodi Malam 3.0: Sal Priadi, Raim Laode gegar Kota Kinabalu

Melodi Malam 3.0: Sal Priadi, Raim Laode gegar Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi popular Indonesia, Sal Priadi dan Raim Laode bakal berkongsi satu pentas buat julung kalinya di Negeri Bawah Bayu menerusi Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat yang dijadual berlangsung pada 2 Oktober depan.

Konsert anjuran Sembang Kari Entertainment itu akan diadakan pada pukul 8 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Melodi Malam 3.0: Sal Priadi, Raim Laode gegar Kota Kinabalu
Sal Priadi

Menurut Sal Priadi, peluang untuk mengadakan persembahan di Kota Kinabalu sememangnya sudah lama dinantikannya, apatah lagi selepas sering mendengar mengenai sambutan hangat peminat muzik di Sabah.

“Saya sentiasa mendengar betapa hangatnya sambutan peminat muzik di Sabah. Akhirnya peluang itu tiba dan saya sangat teruja untuk bertemu mereka.

“Saya berharap kita dapat menyanyi bersama dan berkongsi malam yang penuh emosi serta kenangan indah,” katanya.

Raim Laode

Sementara itu, Raim Laode menyifatkan persembahan berkenaan sebagai peluang terbaik untuk mendekati peminat di Malaysia, khususnya di Sabah.

“Muzik sentiasa menjadi medium yang menyatukan hati dan perasaan. Saya berharap setiap lagu yang dipersembahkan nanti dapat mencipta memori indah bersama peminat di Kota Kinabalu.

Pengarah Teknikal Sembang Kari Entertainment, Alif Rafiq, berkata penganjuran Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat merupakan kesinambungan usaha pihaknya membawa artis berkualiti dari Nusantara untuk dipersembahkan kepada peminat di Sabah.

“Melodi Malam 3.0 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzik yang menghubungkan artis dan peminat dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna,” katanya.

Menurut Alif, Sabah mempunyai komuniti pencinta muzik yang luar biasa dan pihaknya berharap konsert itu dapat menghadirkan malam penuh emosi, nostalgia serta kenangan buat para peminat,” ujarnya.

Tiket Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat bagi kategori Pria Terhebat dijual pada harga RM229 dan boleh didapati menerusi laman web www.myticketempire.com.

Scroll to Top