anbia@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 28 bulan dan denda keseluruhan RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah menjalankan rawatan pergigian tanpa lesen di sebuah premis spa di Puchong, Selangor.
Tertuduh, Susi Susanti yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dijatuhkan hukuman oleh Hakim Noor Ruzilawati selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan Akta Pergigian 2018 (Akta 804).
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda kerana mengendalikan klinik pergigian swasta tanpa berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana menjalankan rawatan pergigian `veneer’ tanpa didaftarkan dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) mengikut Akta 804.
Wanita terbabit turut dikenakan denda RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda kerana menggunakan peralatan pergigian yang boleh mendorong orang ramai mempercayai dirinya berkelayakan sebagai pengamal pergigian berdaftar. Berdasarkan fakta kes, kesalahan itu dilakukan pada jam sekitar jam 4.20 petang, 5 Ogos lalu, apabila sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor KKM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menyerbu sebuah salun kecantikan di Taman Puchong Indah di sini.
Dalam serbuan itu, tertuduh didapati menjalankan rawatan veneer terhadap seorang pelanggan dengan mulut dipasang pembuka pipi dan gigi disapu cecair biru.
Turut ditemui pelbagai peralatan pergigian termasuk cermin pergigian, prob pergigian, bahan pergigian pendakap gigi dan bahan tampalan komposit.
Siasatan mendapati premis itu tidak berdaftar sebagai klinik pergigian swasta di bawah KKM, manakala Susi bukan pengamal berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM).
Pemilik premis, seorang wanita tempatan, pula didapati melakukan rawatan sambungan bulu mata ketika serbuan dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd