norhayati_nordin@hmetro.com.my
WALAUPUN sudah membintangi lebih 30 drama dengan pelbagai watak, namun watak Lailer atau Laila dalam siri Kampung People hingga kini cukup ‘melekat’ dengan Riena Diana, 28.
Siapa sangka, drama komedi yang memaparkan kisah kekeluargaan itu masih terus diingati penonton walaupun sudah beberapa tahun tayangannya berlalu.
Berbicara mengenai Lailer, pemilik nama sebenar Nur Qamarina Diana Zulreal ini tidak menafikan watak itu sangat kuat dan cukup dekat dengan penonton.
“Lama dah drama itu (Kampung People). Ada kira-kira empat atau lima tahun lalu. Mungkin saya rasa kenapa penonton melekat lagi dengan Lailer sebab mereka boleh ‘relate’ kot.
“Lagipun, budak-budak sekarang kebanyakannya memang ramai macam perangai Lailer sikit, dengan ‘slang’ dia, dengan ‘bimbo’ dia. Banyak budak-budak sekarang, ‘gen Z’ sekarang ini ramai macam itu.
“Sebab itu saya rasa bila mereka boleh ‘relate’, mereka suka dan dekat dengan watak itu daripada watak-watak lain yang saya pernah bawa,” katanya.
Ditanya perasaannya apabila dalam pelbagai watak dilakonkan, namun Lailer itu yang paling diingati hingga kini, Riena berkata, dia okay saja dengan penerimaan berkenaan.
“Tak adalah nak rasa apa-apa. Cuma, saya rasa masa ‘first’ nak lari daripada watak Lailer itu adalah drama Wanita Syurga yang saya bawa watak antagonis.
“Dari situ adalah juga orang macam tak sangka saya pun boleh bawa watak jahat, penyondol dan sebagainya.
“Bila orang sudah mula ‘acknowledge’ (mengakui) saya, okaylah. Tapi yang paling penting sekali ialah stesen TV, sebab kadang-kadang stesen bila dah mula bawa watak ‘bimbo’, watak budak-budak, stesen tak akan berani untuk panggil watak lain-lain.
“Namun, apabila saya sudah diberi kepercayaan untuk bawa watak antagonis pula, stesen TV sekarang dah makin percaya pada saya untuk bawa watak lain. Jadi, saya rasa okaylah asalkan mereka nampak ‘capability’ (keupayaan) bakat saya,” katanya.
Menurut Riena yang juga anak sulung daripada lima beradik ini, dia amat bersyukur apabila bakat lakonannya yang versatil atau serba boleh itu turut disedari oleh pembikin karya.
“Penerbit (drama) juga dah nampak (bakat lakonan), kira okaylah kan. Sekurang-kurangnya, saya bolehlah lari sedikit daripada watak Lailer itu. Walaupun orang lain macam tetap panggil lagi saya Lailer di luar.
“Tapi pada masa sama, penonton sebenarnya menyedari juga saya ada bawakan watak-watak lain juga. Okay Alhamdulillah,” katanya.
Menyentuh kebanyakan tawaran lakonannya adalah drama yang ditayangkan di TV3, kekasih hati pelakon Keith Foo ini memaklumkan dia ada juga menerima tawaran berlakon daripada stesen TV lain.
“Cuma, saya selalunya akan dahulukan tawaran daripada TV3 sebab bukan kerana saya ini kesayangan atau anak emas stesen, tapi biasanya ‘job’ sudah ‘lock’ awal dengan TV3.
“Tapi, kalau ada pihak stesen lain yang ‘offer’, saya ambil juga. Cuma, kebanyakan tawaran itu adalah ‘short drama’ macam telefilem. Bahkan, selalu juga dapat tawaran stesen lain, tapi mesti ‘clash’ dengan TV3.
“Apapun, karier lakonan saya bermula dengan TV3. Jadi sudah tentulah keutamaan saya di sini (TV3),” katanya yang pernah menjadi finalis pencarian Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.
Bagi projek terbaharu lakonannya, Riena akan muncul dengan drama Toksik Cinta di TV3 sebagai watak jahat, Karmila iaitu wanita yang berhadapan masalah mental dan psiko.
Sebelum ini, Riena juga meledak dengan drama Bidaah sehingga mencetus fenomena luar biasa di Malaysia dan negara jiran Indonesia dengan watak Baiduri yang ditayangkan Viu Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd