Membaca, hafaz al-Quran bentuk disiplin pelajar

Membaca, hafaz al-Quran bentuk disiplin pelajar

Foto hiasan.

PENGAJIAN al-Quran di Malaysia mengalami evolusi perkembangan yang sangat pesat, seperti pengenalan j-QAF kepada pelajar sekolah, pengenalan kaedah-kaedah membaca al-Quran yang pelbagai seperti Iqra’ dan Baghdadiyyah. Institusi pendidikan kini meletakkan bacaan al-Quran sebagai sebahagian dari kurikulum wajib kepada pelajar.

Advertisement

Proses didikan dan pengajaran dari al-Quran tidak terbatas kepada memahami isi kandungan al-Quran sahaja, malah melalui proses membaca al-Quran dan menghafaz al-Quran dengan cara yang betul bersesuaian juga memberi nilai positif kepada pembentukan peribadi seseorang.

Fokus dan teliti

Bacaan dan hafazan al-Quran yang baik memerlukan kepada pelajar melalui proses-proses tertentu. Dalam satu ayat al-Quran yang dibaca, pelajar perlu memastikan mereka menjaga bacaan al-Quran pada beberapa aspek seperti menyebut huruf dengan betul, bacaan dengan baris yang betul dan berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca. Kumpulan aktiviti yang pelbagai dalam satu masa membentuk ketajaman minda pada diri pelajar. Penghafalan (memorization) daripada perspektif neurosains melibatkan proses pembelajaran, proses pembentukan ingatan, proses penyimpanan ingatan, proses pengeluaran kembali ingatan (recall) dan sebagai bukti kemampuan kognitif luar biasa yang berpusat di otak manusia.

Kekuatan ingatan

Kekuatan ingatan diperolehi dari aktiviti mengulang-ulang bacaan serta hafazan al-Quran. Ini kerana, hafazan melibatkan proses untuk menyimpan pengetahuan. Menghafaz sesuatu yang dipelajari dan mengasah ingatan melalui hafazan adalah cara yang paling baik untuk mengekalkan ingatan dan kecerdasan otak. Kajian menunjukkan bahawa seseorang individu yang membaca al-Quran dengan memahami maksud ayat al-Quran akan merasa ketenangan jiwa dan meningkatkan daya intelektual.

Kekuatan bahasa

Memahami isi kandungan al-Quran adalah salah satu aktiviti yang akan membantu meningkatkan kemahiran bahasa Arab. Dalam konteks penghafaz al-Quran, mereka boleh menghafaz dengan lebih cepat kerana memahami ayat al-Quran yang dibaca tanpa perlu merujuk terjemahan al-Quran. Pelajar tahfiz mempunyai pengetahuan bahasa Arab tidak mengambil masa yang lama untuk merungkaikan kekeliruan yang timbul sekaligus mampu mengekodkan bacaan dalam memori mereka dalam tempoh yang lebih singkat.

Pembangunan spiritual, emosi dan motivasi diri

Elemen pembangunan spiritual merupakan aspek utama yang terbangun dari aktiviti membaca dan memahami ayat al-Quran. Ini kerana membaca dan menghafaz al-Quran merupakan aktiviti yang bersifat menyucikan hati (tazkiyyatun nafs), sehingga dapat menzahirkan akhlak dan perilaku yang baik. Al-Quran juga bertindak sebagai sumber motivasi bagi mereka yang memahami dan menghayati isi kandungannya. Isi kandungan al-Quran antaranya menceritakan kisah nabi-nabi yang terdahulu bersifat peringatan dan penunjuk jalan kepada kebenaran serta meyakini kekuasaan Allah SWT.

Adab

Memelihara adab dan etika semasa membaca dan menghafaz al-Quran dapat membentuk peribadi yang bersikap positif dan dipenuhi nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Memandang rendah terhadap pengamalan etika dalam disiplin ilmu akan menyebabkan kurangnya penguasaan terhadap ilmu tersebut. Antara adab yang digariskan dalam membaca dan menghafaz al-Quran adalah niat yang baik. Membaca al-Quran juga menuntut untuk seseorang itu berada dalam keadaan suci daripada hadas. Keadaan ini membantu juga untuk seseorang sentiasa berada dalam keadaan bersih dalam kehidupan seharian. Selain itu, gaya hidup seperti cara berpakaian, cara berbicara dan tingkah laku mereka juga sentiasa dalam keadaan yang baik hasil daripada kebersamaan dengan al-Quran.

Pengurusan masa

Aspek pengurusan masa dapat dibentuk hasil dari tindakan membahagikan ayat-ayat hafazan. Contohnya, apabila seorang penghafaz menetapkan untuk menghafaz sekurang-kurangnya lima helai seminggu, maka penghafaz perlu menyusun berapa bilangan ayat yang perlu dihafaz dalam masa sehari mengikut kemampuan masing-masing. Maka, mereka perlu menetapkan masa yang sesuai untuk menghafaz mukasurat yang telah ditetapkan pada hari tersbut. Penyusunan hafazan ini membantu pelajar untuk menyusun aktiviti harian mereka dengan lebih sistemtik, agar waktu yang diperuntukkan untuk al-Quran adalah waktu yang berkualiti untuk menghafaz, dan tidak diganggu oleh urusan-urusan lain.

Komitmen dan integriti

Proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran bermula dengan komitmen dan kesungguhan pelajar sebagai tunjang utama. Hal ini adalah kerana proses pembelajaran al-Quran bermula dengan pelajar memperdengarkan bacaan hafazan kepada guru dan barulah guru membimbing dengan kaedah dan sistem yang betul. Pengajaran dan pembelajaran Al-Quran tidak seperti subjek lain iaitu guru sebagai sumber utama dalam menyampaikan ilmu.

Syafawati Salihan

Kesimpulannya, kesedaran masyarakat kini semakin tinggi terhadap keperluan untuk menjalani kehidupan dalam kebersamaan dengan al-Quran. Proses didikan dan pengajaran dari al-Quran tidak terbatas kepada memahami isi kandungan al-Quran sahaja, malah melalui proses membaca al-Quran dengan cara yang betul serta menghafaz al-Quran dengan kaedah yang bersesuaian, juga memberi nilai positif kepada pembentukan peribadi seseorang. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

Penulis merupakan Pensyarah Tahfiz di Pusat Islam, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di syafawati@uniten.edu.my

Scroll to Top