Membudaya dan memasyarakatkan al-Quran

Membudaya dan memasyarakatkan al-Quran

“AL QURAN ialah sebesar-besar mukjizat yang Allah anugerahkan kepada umat Muhammad SAW dan tidak akan rugi mereka yang berpegang dengan al Quran. Kelompok terbaik ialah yang berpegang dengan al Quran serta mereka akan tidak akan dikalahkan serta akan diberikan kejayaan”, tegas Dato’ Sri Amar DiRaja Dato’ Nik Mohd Amar Abdullah kepada seluruh hadirin di acara Ihtifal Tahfiz An Nur Besut dan Tahfiz An Nur Setiu serta majlis penganugerahan cemerlang SRIDAR An Nur di Kompleks Tahfiz An Nur Besut.

Mantan tokoh akademik ini dengan pelbagai kisah menarik mengenai mukjizat al Quran, juga mengenai orang Melayu dengan gaya mereka memahami mukjizat al Quran.

Mantan Timbalan Menteri Besar ini juga mengingatkan khalayak agar yakin dengan janji Allah, bagaimana anak-anak yang diberikan al Quran jauh lebih berkualiti dan berjaya berbanding anak-anak tanpa tarbiah al Quran. Pengalaman beliau, puluhan tahun sebagai pendidik yang akhirnya sebagai anggota legislatif, menyaksikan bagaimana al Quran mengangkat martabat insan. Generasi al Quran inilah yang akan menyedarkan masyarakat untuk kembali berpegang dengan ajaran Islam; sebab itulah musuh akan terus merencatkan usaha membina generasi al Quran.

Dato’ Nik Mohd Amar memaku ingatan kepada seluruh khalayak yang hadir, dalam euforia kegembiraan ibu bapa merayakan anak-anak mereka yang berjaya menamatkan hafazan al Quran di kedua-dua Kompleks Tahfiz An Nur Besut dan Kompleks Tahfiz An Nur Setiu.

Sosok gerakan Islam ini lama terlibat dalam bidang pendidikan termasuk sebagai seorang pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum menggalang jawatan sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. Datuknya, Tok Ayah Kedah, adalah seorang ulama tersohor di Kelantan yang mengasaskan pusat pengajian Islam, manakala ayahnya adalah sesepuh perjuangan PAS Kelantan yang pernah mendekam dalam tahanan ISA dalam dekad 1960an.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa mengenai meluruskan niat untuk memastikan keberkatan al Quran yang dipelajari oleh anak-anak. Allah merahmati dan menjamin rezeki pelajar-pelajar agama dan beliau adalah saksi hidup bagaimana generasi sezaman dengan beliau dalam dekad 1970an.

Jangan merasa rendah harkat sosial apabila mencebur bidang atau disiplin pengajian agama, malah dunia yang edan semakin tenat ini juga memerlukan ramai tenaga pakar yang mempunyai ilmu agama yang mantap. Beliau memberikan contoh bagaimana negara memerlukan pakar-pakar ekonomi yang kuat bertunjang asuhan al Quran, apatah pemimpin yang terasuh dengan al Quran. Kelompok inilah yang meletakkan nilai ukhrawi dalam setiap langkah kehidupan, memastikan nilai barokah dalam setiap mozek kehidupan.

Kompleks Tahfiz An Nur Setiu ditubuhkan pada tahun 2012 di Kampung Desa Jaya, Sungai Tong, Setiu. Melepasi lebih satu dekad berbakti mencetak generasi al Quran, An Nur Setiu telah melahirkan ratusan alumni yang berbakti di seluruh tanah air termasuk di Sabah. Bertebaran alumni An Nur Setiu menyambung pengajian mereka termasuk di Mesir, Jordan, Pakistan, Yaman, Indonesia dan sebagainya.

Dalam ihtifal kali ini juga, kami menyaksikan tiga orang anak Allahyarham Bob Lokman menerima sijil mereka daripada Dato’ Mohd Amar.

Almarhum Bob Lokman adalah seorang relawan tegar Kompleks Tahfiz An Nur Besut dan juga An Nur Setiu. Cicit Tok Kenali itu telah mewasiatkan kepada penulis untuk memastikan tiga orang zuriatnya; Lukman, Rayyan dan Amanee mendapat asuhan tarbiah di Kompleks Tahfiz An Nur Setiu.

Setelah pemergian Abang Bob Lokman, kebajikan keluarga telah mendapat perhatian sahabat-sahabat termasuk di mana NGO Muslim Care Malaysia telah menyiapkan sebuah rumah untuk keluarga Almarhum.

Setelah kejayaan Kompleks Tahfiz An Nur Setiu melahirkan ramai para huffaz maka sebidang tanah telah dibeli di Kampung Alor Belanga di Jerteh seluas sembilan ekar. Dirasmikan pecah tanah oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pada April 2016 dalam acara yang sangat nostalgik. Almarhum dengan lirih mendoakan agar Kompleks Pendidikan bertunjang al Quran ini akan menjadi Pusat sehenti (one stop centre) tarbiah Islamiah di negeri Terengganu.

Setelah tujuh tahun beroperasi, Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut telah berjaya mencapai sebahagian matlamat penubuhannya.

Bermula dengan pra Tahfiz An Nur, Sekolah SRIDAR An Nur, tahfiz sepenuh masa dengan Ustaz Taufik Aliph Alhafiz sebagai mudir, manakala pondok warga emas An Nur dibimbing oleh ulama Yaman, Sheikh Dr Abdullah Qudaimi dan Ustaz Jundullah Riduan.

Kompleks ini juga menjadi tempat pelbagai acara ilmu dilaksanakan seperti daurah kitab, tamrin, kuliah umumi, karnival dakwah, korban perdana, festival Ramadhan, kelas al Quran dewasa serta pelbagai program sosial dan dakwah.

Majlis Ihtifal An Nur 2025 ini juga turut menyaksikan serahan replika cek bernilai RM63,000 oleh Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan bagi pembinaan projek pendidikan Kompleks Tahfiz An Nur Besut yang masih giat berjalan.

Ihtifal yang disekalikan dengan majlis sambutan Syawal 1446 Hijriah juga menyaksikan ribuan khalayak yang hadir bagi memeriahkan majlis.

Insya-Allah, Kompleks Tahfiz An Nur Besut dan juga An Nur Setiu masih membuka peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mendapat pendidikan Al Quran.

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi Kompleks Tahfiz An Nur Besut dan An Nur Setiu – HARAKAHDAILY 25/4/2025

The post Membudaya dan memasyarakatkan al-Quran appeared first on Harakahdaily.

Scroll to Top