am@hmetro.com.my
Segamat: Pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya dengan memotong di garisan berkembar hingga hampir merempuh sebuah kereta di Kilometer 146, Jalan Johor Bahru-Seremban, berdekatan Chaah, di sini dikenakan tindakan hari ini.
Lelaki berusia 50-an, didapati memotong sebuah lori meskipun di garisan berkembar hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata tindakan sama dibuat mengikut Peraturan 12 (3) (A) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Katanya, pada jam 9 malam semalam, polis mengesan video di media sosial memaparkan sebuah bas memotong garisan berkembar.
“Susulan itu, polis mengeluarkan saman terhadap pemandu bas terbabit. Ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu bas terbabit negatif dadah.
“Polis komited mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, video berdurasi 30 saat tular dengan memaparkan sebuah bas dipandu secara berbahaya hingga hampir merempuh kereta dari arah bertentangan.
Berdasarkan rakaman kamera pemuka (dashcam), insiden itu berlaku pada jam 12.51 tengahari ketika bas terbabit menghala ke Segamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
