suliati@hmetro.com.my
Komited terhadap kelestarian alam sekitar serta pembabitan komuniti, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan Projek Pemuliharaan Hutan Paya Bakau, baru-baru ini.
Projek yang juga inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilancarkan bertujuan memulihara dan melindungi ekosistem paya bakau di Hutan Simpan Banjar Utara di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor.
Melalui projek ini, sukarelawan daripada program Sahabat DRB-HICOM bersama pelajar UiTM berganding bahu menanam 450 anak pokok bakau di sepanjang pesisir pantai sebagai fasa permulaan.
Projek ini disasarkan untuk mencapai jumlah keseluruhan 1,000 anak pokok yang akan ditanam secara berperingkat dengan pemantauan berterusan oleh UiTM bagi menyokong proses pemulihan kawasan yang terjejas akibat hakisan pantai.
Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir pemuliharaan alam sekitar adalah sangat penting.
Justeru, katanya, projek itu mencerminkan komitmen lebih meluas DRB-HICOM terhadap kelestarian termasuk pembabitan aktif bersama institusi akademik dan komuniti setempat.
“Program ini tidak terhenti setakat penanaman pokok. Ia adalah pelaburan jangka panjang terhadap alam sekitar dan masyarakat kita.
“Dengan bekerjasama rapat bersama UiTM, kami berharap dapat memberi impak positif bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga menyumbang kepada pendidikan yang lebih baik dan pembangunan komuniti yang lebih menyeluruh,” katanya.
Projek Pemuliharaan Hutan Paya Bakau ini adalah kerjasama selama tiga tahun dengan Fakulti Alam Bina UiTM, yang meliputi pemantauan berterusan hutan paya bakau di kawasan itu, analisis simpanan karbon tanah dan bengkel pendidikan bersama komuniti setempat.
Cairil berkata, projek ini memberi peluang kepada kakitangannya memperoleh pengetahuan dan pengalaman secara langsung bagi memahami kesan sebenar kemerosotan alam sekitar.
“Kerjasama kami dengan UiTM serta jalinan melalui pelbagai syarikat operasi di bawah DRB-HICOM mewujudkan asas yang kukuh untuk mendekati dan menyokong komuniti setempat, disamping menyumbang kepada agenda kelestarian negara,” katanya.
Untuk fasa seterusnya, projek ini juga akan disokong anak syarikat DRB-HICOM seperti Bank Muamalat, PROTON, EON dan Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM.
Setiap entiti ini akan memberi tumpuan mengikut kepakaran masing-masing termasuk penganjuran program pendidikan, sesi literasi kewangan dan pameran teknologi.
Pendekatan CSR yang bersepadu ini mencerminkan komitmen DRB-HICOM untuk mewujudkan nilai jangka panjang melalui kerjasama strategik dan pembangunan komuniti yang inklusif.
© New Straits Times Press (M) Bhd