Menang G7, Razak tekad ‘gempur’ Jerantut untuk UMNO rampas tiga kerusi DUN, Parlimen

Menang G7, Razak tekad ‘gempur’ Jerantut untuk UMNO rampas tiga kerusi DUN, Parlimen

JERANTUT: Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud menyatakan komitmen padu untuk menjadi tenaga penggerak utama dalam usaha UMNO Bahagian Jerantut merampas semula kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tahan, Damak dan Pulau Tawar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut Razak, walaupun UMNO tewas semua kerusi tersebut pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, namun kekalahan tersebut bukan titik akhir perjuangan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk bangkit memperkukuh sokongan akar umbi.

“Kita tidak boleh bersandar kepada rekod lalu. Sokongan rakyat perlu dipupuk melalui usaha berterusan, keikhlasan mendekati mereka dan menyampaikan khidmat secara konsisten,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berjaya menempatkan diri antara tujuh calon teratas (G7) dalam Pemilihan UMNO Bahagian Jerantut 2025 yang berlangsung di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut di sini hari ini.

Razak yang mesra disapa Pak Andak memperoleh 421 undi, kedua tertinggi selepas Ahmad Murad Mat Hashim@Idris (424 undi), sekali gus membolehkannya membawa suara Jerantut ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dijadualkan pada 26 hingga 29 November ini.

Mengulas lanjut, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Jerantut serta berikrar memikul amanah besar itu dengan penuh tanggungjawab dan tekad.

Menurutnya yang juga Pengerusi Gabungan 37 Masjid Felda Wilayah Jengka, kemenangan tersebut turut menjadi titik tolak baginya untuk memperkasa semula struktur organisasi parti berkenaan di Jerantut dengan matlamat besar menjelang PRU16.

“Saya mahu jadi tenaga penggerak organisasi UMNO Bahagian Jerantut yang menyusun jentera hingga mampu menyumbang kemenangan kerusi Parlimen dan tiga DUN, seterusnya membantu membentuk kerajaan negeri dan Pusat,” katannya.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan, pentingnya UMNO terus menjadi suara keadilan dan pembela kepada tokoh parti tersebut yang sedang berdepan cabaran, khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum.

“Perjuangan kita termasuk menuntut pelaksanaan Titah Adendum adalah lambang kesetiaan kepada pemimpin yang sudah banyak berjasa. Ini bukan sentimen, tetapi soal prinsip dan keadilan,” tegasnya. – UTUSAN

Scroll to Top