Petaling Jaya: Berita tragis seolah tidak pernah berhenti dari kes pembunuhan yang mengejutkan masyarakat hingga mangsa buli di sekolah, tragedi demi tragedi terus menghantui kehidupan harian kita. Kita membaca, menggeleng kepala, lalu melangkah pergi. Namun persoalan yang lebih besar tetap berlegar di fikiran kita “ Di manakah hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri kita?”
Di sebalik kemajuan negara dan slogan “Malaysia Madani”, realiti menunjukkan bahawa masyarakat kita sedang menghadapi krisis moral dan empati. Tekanan hidup, persaingan ekonomi, dan konflik keluarga membuat hati manusia rapuh. Ditambah pengaruh media sosial yang menormalisasikan keganasan, keadaan menjadi semakin membimbangkan. Dalam dunia moden ini, sedikit salah faham atau pertelingkahan boleh bertukar menjadi tragedi. Ia boleh berlaku secara fizikal atau emosi.
Fenomena ini bukan sekadar isu jenayah, tetapi cerminan kehilangan nilai kemanusiaan dalam masyarakat. Pelajar yang membuli rakan sebaya, konflik keluarga yang berakhir dengan tragedi, dan tindak kekerasan sesama manusia menunjukkan betapa rapuhnya empati dalam kehidupan seharian. Nilai kasih sayang dan penghormatan terhadap nyawa seakan semakin dilupakan.
Dalam Islam, nyawa manusia dianggap sangat suci. Firman Allah dalam Surah al-Ma’idah ayat 32 menyatakan:
“Barang siapa membunuh seorang manusia bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.”
Mesej ini mengingatkan kita bahawa kehilangan nyawa tanpa hak adalah pengkhianatan terhadap kemanusiaan seluruhnya. Nilai kasih sayang (rahmah), ihsan, dan keadilan menjadi tunjang masyarakat yang harmoni. Hilangnya nilai ini membuka ruang kepada keganasan, dendam, dan penderaan dalam pelbagai bentuk.
Bagi menangani isu ini, peranan pelbagai pihak sangat penting. Kerajaan dan penguatkuasa undang-undang perlu memastikan hukuman setimpal terhadap pelaku jenayah dan melaksanakan program pencegahan berkesan. Pelaku harus dikenakan tindakan setimpal tanpa mengira jawatan atau pengaruh seseorang. Pendidikan moral dan nilai kemanusiaan di sekolah harus diberi penekanan, bukan sekadar teori, tetapi juga pembelajaran praktikal tentang pengurusan emosi dan empati.
Keluarga pula menjadi benteng utama pembentukan peribadi individu. Ibu bapa mesti menanam nilai kasih sayang, tanggungjawab, dan empati sejak kecil. Kaunseling dan bimbingan emosi bagi anak-anak juga boleh mencegah mereka daripada menjadi mangsa atau pelaku keganasan.
Masyarakat dan media turut memainkan peranan besar. Media perlu melaporkan berita dengan etika, mengurangkan sensasi, dan menonjolkan mesej kesedaran sosial. Masyarakat pula harus proaktif dalam menolak keganasan, membantu mangsa, dan mengamalkan nilai hormat serta empati dalam interaksi seharian.
Perubahan besar bermula dengan langkah kecil. Setiap kata-kata lembut, tindakan prihatin, dan kesedaran terhadap perasaan orang lain adalah benih yang menumbuhkan semula nilai kemanusiaan. Apabila masyarakat kembali menanam kasih sayang dan ihsan, jenayah dan keganasan yang berpunca daripada amarah, dendam, dan tekanan boleh dikurangkan.
Bangsa yang hebat bukan diukur dengan bangunan tinggi atau kemajuan teknologi semata-mata, tetapi melalui nilai kemanusiaan yang masih hidup dalam jiwa warganya. Setiap tragedi yang kita saksikan seharusnya menjadi cermin untuk menilai diri sendiri, apakah kita cukup peduli, cukup menyayangi, dan cukup menjaga nyawa manusia di sekeliling kita?
Marilah kita bersama-sama menanam kasih sayang dan empati, memulihkan nilai kemanusiaan dalam diri dan masyarakat. Moga setiap hati kembali lembut, setiap tangan menahan amarah, dan setiap jiwa kembali menghargai nilai kemanusiaan. Tanggungjawab ini bukan untuk seorang, tetapi untuk kita semua.
Oleh: Siti Nur Farhana Binti Mohamad Jalil
Pelajar Jabatan Sejarah,Tamadun Dan Pendidikan Islam
Universiti Malaya



