Menangis lihat Najib ke penjara, bekas pengawal peribadi imbau detik paling sukar

Menangis lihat Najib ke penjara, bekas pengawal peribadi imbau detik paling sukar

SHAH ALAM – Bekas pengawal peribadi berkongsi detik paling sukar sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat apabila mengiringi bekas Perdana Menteri ke penjara selepas dijatuhi hukuman dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut Datuk Alias Yahya, kesedihannya tidak dapat dibendung sehingga menangis apabila bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum bekas Presiden UMNO itu dibawa ke Penjara Kajang pada Ogos 2022.

“Najib ketika itu menerima keputusan mahkamah dengan tenang dan reda.

“Saya peluk dia dan menangis tetapi dia berpesan supaya bersabar dan reda. Dia kata kalau itu yang perlu dibayar, dia akan hadapinya kerana sudah takdir,” katanya.

Alias bertugas sebagai pengiring rapat dan pengawal peribadi sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri keenam.

Alias bertugas sebagai pengiring rapat dan pengawal peribadi sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri keenam.

Sepanjang tempoh perbicaraan, Alias berkata, Najib sentiasa bersemangat apabila menerima kunjungan rakan di mahkamah.

Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga sering bertanya mengenai kehadiran sahabatnya setiap kali tiba di mahkamah sebelum prosiding bermula.

Sementara itu, berkongsi pengalaman sepanjang menjadi pengawal peribadi, Alias berkata, tanggungjawab utamanya adalah memastikan keselamatan individu, keluarga serta harta benda mereka.

Selain itu, beliau berkata, kesetiaan, kejujuran dan kemampuan menyimpan rahsia merupakan antara syarat terpenting bagi seseorang yang ingin menjadi pengawal peribadi.

Alias berkongsi cerita ketika podcast Terus Terang Sinar Harian.

Alias berkongsi cerita ketika podcast Terus Terang Sinar Harian.

“Kerja bodyguard ini kena jujur, ikhlas dan mulut kena jaga. Apa yang berlaku di tempat kerja, biarlah kekal di tempat kerja.

“Ancaman memang ada, tetapi Alhamdulillah sepanjang bertugas, semuanya dapat dikawal dan tidak berlaku sebarang kejadian serius,” ujarnya.

Meskipun kini sudah bersara, beliau mengakui masih mengikuti perkembangan Najib dan bersedia menemani bekas majikannya itu sebagai rakan sekiranya diperlukan.

“Saya sudah bersara, tetapi kalau dia pergi ke mana-mana dan perlukan saya, saya akan ikut sebagai pesara bebas,” katanya.

Najib, 72, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Scroll to Top