razis@mediaprima.com.my
Dalam dunia dekorasi kediaman, langsir bukan sekadar penutup jendela atau tingkap sebaliknya elemen penting yang mampu menyerlahkan gaya dan karakter sesebuah ruang.
Apa tidaknya, setiap kali melangkah masuk ke ruang tamu, antara perkara pertama yang mencuri pandangan pastinya langsir yang tergantung kemas di jendela atau tingkap.
Biarpun dianggap sekadar pelengkap hiasan, hakikatnya langsir memainkan peranan besar dalam mencorakkan suasana sesebuah kediaman.
Penjagaan yang betul bukan sahaja memanjangkan jangka hayat langsir, malah memastikan rumah sentiasa kelihatan kemas dan menarik.
Berikut adalah lima panduan mudah untuk memastikan langsir sentiasa kelihatan kemas, bersih dan tahan lama.
1. Elakkan daripada terdedah dengan cahaya matahari secara berlebihan
Warna langsir mudah pudar jika terlalu lama terdedah kepada cahaya matahari.
Fabrik langsir berwarna cerah lebih tahan pudar kerana memantulkan cahaya, berbanding langsir gelap yang cenderung menyerap cahaya dan cepat lusuh.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, ada dinasihatkan ikat atau tarik langsir pada sebelah siang.
Anda juga boleh menggunakan bidai atau tirai tambahan bagi melindungi langsir daripada sinaran matahari. Bidai kayu bukan sahaja praktikal, tetapi juga menambah sentuhan elegan dan bergaya pada ruang rumah.
2. Bersih dengan menggunakan vakum
Langsir cenderung mengumpul habuk sehingga boleh menyebabkan fabrik berwarna cerah mudah kelihatan kusam atau berubah warna.
Oleh itu, sebaiknya vakum langsir sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memudahkan pembersihan. Gunakan kepala vakum berus lembut bagi menyingkirkan habuk dengan lebih berkesan.
3. Baca arahan penjagaan dengan teliti
Langsir yang dibeli dari kedai biasanya datang bersama arahan penjagaan. Sekiranya tertulis ‘cucian kering sahaja,’ sebaiknya serahkan kepada dobi profesional untuk memastikan fabrik kekal cantik dan tahan lama.
Jika arahan membenarkan pencucian menggunakan mesin basuh, anda boleh melakukannya sendiri di rumah dengan lebih mudah.
Cuba mencuci langsir yang bertanda ‘cucian kering sahaja’ di mesin basuh boleh menyebabkan fabrik rosak atau mengecut.
4. Bersihkan segera jika terkena kotoran
Sekiranya langsir terkena kotoran, lakukan segera ‘spot cleaning.’ Kenal pasti jenis kotoran, kemudian sapu perlahan dengan kain putih bersih menggunakan larutan sabun lembut dan air. Uji dahulu pada bahagian tersembunyi dan elakkan menggosok supaya kotoran tidak merebak.
5. Simpan langsir dengan betul
Jangan hanya menggumpal langsir dan menyumbatnya di dalam kotak. Sebaliknya, lipat langsir dengan kemas dan rapi untuk mengurangkan kedutan yang teruk. Gunakan bekas penyimpanan yang boleh melindungi langsir daripada habuk, kelembapan dan serangga. Tempatkan langsir di lokasi penyimpanan yang kering, sejuk dan gelap.
© New Straits Times Press (M) Bhd




