NAMA Syinqith mungkin kedengaran asing bagi segelintir orang, namun ia terkenal sebagai negara yang memiliki kaedah menghafaz al-Quran terbaik di dunia.
Menjejaki historiografinya, Syinqith, kota di Mauritania terletak di Gurun Sahara yang kering dan gersang serta kerap berlaku badai pasir.
Dari segi kedudukan geografinya, ia berada di wilayah barat benua Afrika. Bahkan, keseluruhan populasinya beragama Islam yang mengamalkan Mazhab Maliki.
Meskipun demikian, di situlah banyaknya kelahiran huffaz lantaran tradisi menghafal al-Quran yang menjadi amalan dan ‘kewajipan’ di negara berkenaan.
Ia sehinggakan anak kecil berusia tujuh tahun dianggap aib atau memalukan keluarga jika masih belum menghafaz kalamullah itu.
Sejak abad ke-13 lagi, Syinqith sudah dikenali sebagai kota huffaz iaitu tempat kanak-kanak mula menghafaz 30 juzuk kalam ALLAH.
Jelas seorang guru di sebuah madrasah tempatan ketika ditemui di pondok hafazan di Syinqith, Ustaz Muhammad Ould Baraka: “Jika kanak-kanak berusia tujuh tahun tidak menghafaz al-Quran, ibu bapanya berasa malu.
“Ia dianggap sebagai kegagalan pendidikan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berita Hidayatullah.com baru-baru ini.

MANUSKRIP kuno di Syinqith iaitu negara dengan tradisi menghafal al-Quran terbaik di dunia. -Foto: YOUTUBE KABAR PEDIA
Lapor portal itu, Syinqith yang diasaskan pada abad ke-8 dikatakan pernah menjadi persimpangan sibuk untuk jemaah haji dalam perjalanan ke Makkah dan pusat perdagangan serta pembelajaran Islam yang pesat berkembang.
“Majoriti penduduk Syinqith berketurunan Arab terutama dari Bani Hasyim. Mereka menisbahkan nasab kepada Hassan dan Hussein, cucu Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Ansar,” katanya.
Satu perkara yang menarik perhatian adalah sistem pendidikan di negara itu yang dikenali sebagai mahazar.
“Mahazar membolehkan pelajar menulis ayat suci di atas papan kayu menggunakan dakwat asli daripada tumbuh-tumbuhan tempatan,” menurut portal itu.
Hafal 3,000 hingga 5,000 kali untuk setiap ayat al-Quran
Bagi memastikan hafalan benar-benar ‘melekat’ kemas dalam ingatan, lebih 3,000 hingga 5,000 kali satu ayat al-Quran itu diulang-ulang.
Seorang penghafaz al-Quran, Ahmed Ould Salem, 19 yang kini mengajar pelajar baharu di khemah madrasahnya mengatakan: “Pengulangan menjadi teras kaedah kami.
“Walaupun kami sudah menghafalnya, tetapi kami terus mengulanginya setiap hari,” ungkapnya dalam portal berkenaan.

PAPAN kayu dan pasir Gurun Sahara di Syinqith antara ‘saksi’ kegigihan masyarakat di kota itu menghafal dan mengajar al-Quran iaitu tradisi ilmu yang dipelihara turun-temurun. -Foto: HIDAYATULLAH.COM
Di sebalik kejayaan anak-anak kecil menghafaz al-Quran itu, sokongan kuat daripada ibu bapa begitu memainkan peranan penting.
Menurut sebuah kisah yang masyhur, orang tua mereka sudah mula menjinakkan anak masing-masing dengan alunan kalamullah itu sejak masih dalam kandungan lagi.
“Jika ada seorang wanita sedang hamil, dia tidak akan membuang-buang waktunya untuk tidur sahaja, tetapi si ibu tadi akan menghabiskan masanya dengan melakukan murajaah (mengulang kaji) hafalannya hingga mereka berasa lelah dan letih.
“Apabila bayi sudah lahir pula, satu keluarga akan bersama-sama mengulang hafalannya. Kemudian apabila anak tadi mula boleh membaca al-Quran dan mampu menghafaznya, sekali lagi murajaah akan dilakukan di hadapan orang tua masing-masing,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laporan liputan6.com.
Meskipun Syinqith kini bukan lagi pusat utama dunia Islam, tetapi semangat itu tetap hidup.
Buktinya, pendakwah Dr Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Dr Kamilin Jamilin yang pernah mengunjungi Mauritania tujuh tahun lalu turut mengagumi sistem pengajian di sana yang benar-benar mementingkan ilmu.
“Kata mereka, anak-anak Mauritania telah mula menghafal al-Quran seawal usia empat tahun dalam proses pertama dan proses kedua mengambil masa empat hingga lima tahun untuk mendapatkan hafalan yang kukuh.
“Mereka yang mantap pula mampu menghafal kitab hadis seperti Muwatta’ Imam Malik ketika berusia belasan tahun.

SISTEM pendidikan di Syinqith dikenali sebagai mahazar yang mana pelajar menulis ayat suci di atas papan kayu menggunakan dakwat asli daripada tumbuhan tempatan. -Foto: HIDAYATULLAH.COM
“Walaupun golongan penimba ilmu juga semakin berkurangan, namun hafazan ‘mutun’ masih lagi menjadi teras pengajian tradisi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya sebelum ini.
Antara ilmuan yang berjaya dilahirkan dari Mauritania ‘bumi ulama’ itu termasuklah ‘gergasi’ zaman kini seperti Syeikh Muhammad Amin Al-Syanqitiy, Syeikh Muhammad Mukhtar Al-Syanqitiy, Syeikh Muhammad Al-Dedew dan Syeikh Muhammad Abdullah Al-Syanqitiy.
Tradisi keilmuan Syinqith yang unggul itu sekali gus menjadi bukti betapa Islam mengakar kukuh dalam kehidupan masyarakatnya hingga ke hari ini.