Seorang pemandu Nissan Navara yang tular dalam insiden kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 30 hari serta denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
Tertuduh, K Darmaraju, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, iaitu pada 11 Mei lalu.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kejadian yang menyayat hati melibatkan sepasang suami isteri yang cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh oleh kenderaan pacuan empat roda di lokasi kejadian.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang dan mengakibatkan lelaki berusia 53 tahun itu mengalami retak tulang selangka dan luka di buku lali. Manakala isterinya yang berumur 49 tahun pula mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di kepala serta patah tulang rusuk dan buku lali.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa berada di lorong kiri sebelum dilanggar dari arah kanan oleh kenderaan Nissan Navara.
Pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis pada hari sama sekitar jam 6.55 petang.
Kejadian itu turut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial selepas rakaman video insiden berkenaan dimuat naik oleh akaun ‘DashCam Malaysia’, sekali gus menarik perhatian netizen dan mengundang pelbagai reaksi.
Sumber, Kredit foto: Harian Metro