Mengaku sorok 500 liter petrol, lelaki didenda RM12,000

Mengaku sorok 500 liter petrol, lelaki didenda RM12,000

am@hmetro.com.my

Kangar: Seorang lelaki didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyembunyikan 500 liter minyak petrol di dalam tangki kereta Proton Saga Iswara yang diubah suai, dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Shamil Izat Nor Lizan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu petrol di dalam tangki ubah suai sebuah kereta Proton Saga Iswara yang dicat warna coklat berbanding warna asalnya, hitam.

Perbuatan itu menimbulkan syak munasabah bahawa tertuduh berniat berurusan dengan bahan bakar berkenaan secara runcit tanpa lesen yang sah.

Kesalahan itu dilakukannya di Stesen Minyak Buraq Oil Batu Bertangkup, Chuping, kira-kira jam 11.12 pagi pada 26 Jun 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang jika sabit kesalahan boleh didenda

maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Mugunthan Selvakumaran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu agar hukuman diringankan atas alasan dia perlu menyara ibunya yang juga ibu tunggal serta seorang adik yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Mugunthan memohon mahkamah mengenakan denda maksimum sebagai pengajaran, selain memohon barang kes iaitu kenderaan dan wang hasil jualan petrol dilucut hak kepada kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top