Mengapa bumi Palestin istimewa di sisi Islam?

KETIKA Malaysia juga diuji dengan rakyatnya yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik COVID-19, tetap ramai yang sanggup bergolok-gadai membantu Palestin. Ya, ini semua kerana Palestin ada kedudukan yang istimewa di hati umat Islam. Terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan bumi Palestin yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan dikhabarkan oleh Baginda S.A.W.

Palestin menjadi tempat tinggal para Nabi dan Rasul antaranya Nabi Ibrahim, Nabi Luth, Nabi Ya’qub, Nabi Musa, Nabi Isa serta ramai lagi dan akhirnya Allah S.W.T menjadikannya sebagai milik umat Islam setelah bangsa Yahudi menempuh jalan kesesatan.

Advertisement

Allah S.W.T memberkati bumi Palestin dan telah turut menyucikannya seperti yang terkandung dalam al-Quran Surah al-Isra’ ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Di bumi Palestin inilah terletaknya Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama bagi umat Islam untuk mendirikan solat. Selama hampir 17 bulan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat melakukan ibadat solat berkiblatkan Masjid al-Aqsa maka turunlah ayat memerintahkan supaya dialihkan kiblat ke arah Masjidil Haram di Makkah. Allah S.W.T berfirman:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu mendongak ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.”

Dalam pada itu, Masjid al-Aqsa juga adalah masjid yang kedua didirikan dalam sejarah peradaban manusia. Sebagaimana yang dinukilkan dalam sebuah Hadis:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الْأَرْضِ أَوَّلُ قَالَ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ قَالَ ثُمَّ الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى قَالَ أَبُو مُعَاوِيَةَ يَعْنِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً

“Wahai Rasulullah, masjid apakah yang pertama diletakkan oleh Allah di muka bumi? Beliau bersabda, ‘Al-Masjid Al-Haram’. Abu Dzar bertanya lagi, kemudian apa? Beliau bersabda, ‘kemudian Al-Masjid Al-Aqsa’. Berkata Abu Mu’awiyah ‘iaitu Baitul Maqdis’ Abu Dzar bertanya lagi, berapa lama antara keduanya? Beliau menjawab, empat puluh tahun.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Selain daripada ganjaran yang besar sekiranya bersolat di Masjid al-Aqsa (500 gandaan solat dari tempat lain), Rasulullah S.A.W juga menggalakkan umat Islam bermusafir ke sana seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis:

لا تُشَدُّ الرحال إلاّ إلى ثلاثة مساجد، مسجدي هذا، والمسجد الحرام، والمسجد الأقصى

“Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar bermusafir (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram, Masjid Aku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Dari sudut geografi pula, kedudukan Palestin terletak di bumi Syam. Rasulullah S.A.W telah mendoakan bumi Syam dengan keberkatan dan para malaikat membentangkan sayapnya ke atas bumi bertuah ini. Sabda Nabi S.A.W:

طُوبَى لِلشَّامِ فَقُلْنَا لِأَيٍّ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِأَنَّ مَلَائِكَةَ الرَّحْمَنِ بَاسِطَةٌ أَجْنِحَتَهَا عَلَيْهَا

“Beruntunglah bagi penduduk Syam, maka kami bertanya: Mengapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Kerana para malaikat membentangkan sayap-sayapnya kepada mereka.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bumi Syam juga dikhabarkan oleh Baginda S.A.W sebagai tempat berlakunya padang mahsyar yang akan menghimpunkan manusia keseluruhannya selepas berlakunya qiamat. Nabi S.A.W bersabda:

عن مَيمونةَ مَوْلاةِ النَّبيِّ عليه السَّلامُ، عنِ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أنَّها سألتْهُ فقالت: أَفْتِنا في بيتِ المَقدِسِ، فقال: أرضُ المَحشَرِ، والمَنشَرِ،

“Nabi S.A.W ditanya oleh Maimunah mengenai Baitul Maqdis, Baginda bersabda: Bumi tempat berkumpul (mahsyar) dan penyebaran.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Demikianlah istimewanya Palestin di hati kita semua. Sokongan kita tidak bermusim kerana kita semua pencinta bumi Palestin yang penuh keberkatan. 

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/6/2021

Leave a Comment