Mengapa Perhilitan, Zoo Taiping tidak urus DAK di Jepun?

Mengapa Perhilitan, Zoo Taiping tidak urus DAK di Jepun?

SHAH ALAM – Pemilihan perunding luar untuk menguruskan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), di Zoo Tennoji, Jepun, dipersoalkan aktivis haiwan yang mahu pihak berkuasa menjelaskan asas pemilihan itu serta peranan kepakaran tempatan dalam menentukan kebajikan haiwan berkenaan.

Pegawai Perhubungan DaraAmoiKelat 24434, Sharifah Muhammad berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Zoo Taiping & Night Safari sewajarnya diberikan peranan penting dalam menentukan pendekatan pengurusan ketiga-tiga gajah itu selepas pemindahan mereka.

Menurutnya, Perhilitan mempunyai tanggungjawab dalam pengurusan hidupan liar negara, manakala Zoo Taiping merupakan institusi yang mempunyai pengalaman menjaga DAK sebelum mereka dipindahkan ke Jepun.

Beliau mempersoalkan mengapa perbandingan antara kepakaran pasukan tempatan dengan Elephant Business Inc tidak dibentangkan kepada umum sebelum keputusan dibuat.

“Kami bukan mengatakan pakar luar tidak diperlukan kerana kerjasama antarabangsa boleh membawa manfaat.

“Namun, apakah asas pemilihan perunding itu dan apakah bukti pendekatan berkenaan lebih sesuai untuk DAK berbanding kaedah alternatif?” katanya dalam satu kenyataan.

DAK adalah tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping & Night Safari yang dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun pada Mac 2026

Sharifah berkata, pihak berkuasa dan pengurusan zoo perlu menjelaskan pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan, asas saintifik yang digunakan serta mekanisme penilaian kebajikan setiap gajah secara bebas.

Beliau berkata demikian bagi pihak aktivis yang bergerak atas nama DaraAmoiKelat 24434 bersama PERKAM, Pertubuhan Ihsan dan SR Raws.

Rekod pengendalian gajah perlu dinilai

Dalam pada itu, Sharifah turut membangkitkan kontroversi pengendalian seekor gajah Afrika betina bernama Dunda pada 1988 ketika Alan Roocroft bertugas sebagai penyelia gajah di San Diego Wild Animal Park.

Menurutnya, rekod sejarah berkenaan wajar diteliti secara menyeluruh, termasuk laporan yang merekodkan dapatan serius Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa tiada pendakwaan jenayah dibuat dalam kes berkenaan dan rekod itu tidak semestinya membuktikan setiap kaedah pengurusan Roocroft atau Elephant Business Inc pada masa kini tidak sesuai.

Sebaliknya, katanya, sejarah tersebut menjadi alasan untuk menilai secara kritis falsafah, protokol dan kaedah pengendalian gajah yang digunakan ketika ini.

“Pihak yang memilih perunding dengan rekod sejarah sedemikian perlu menjelaskan prinsip pengurusan yang digunakan sekarang, perubahan yang dilakukan sejak dahulu dan bukti keberkesanannya,” katanya.

Kebajikan DAK perlu diutamakan

Sharifah berkata, Dara, Amoi dan Kelat bukan gajah liar yang baru ditangkap, sebaliknya mempunyai pengalaman hidup dalam jagaan manusia serta hubungan dengan penjaga mereka di Malaysia.

Justeru, katanya, faktor pengalaman hidup, hubungan sosial dan tindak balas setiap gajah perlu diambil kira dalam proses penyesuaian terhadap persekitaran baharu.

Menurutnya, pengalaman mengendalikan atau mengawal gajah tidak semestinya membuktikan seseorang itu paling sesuai untuk memenuhi keseluruhan keperluan biologi, sosial dan tingkah laku haiwan berkenaan.

Beliau berkata, penilaian kebajikan gajah tidak seharusnya terhad kepada pemberian makanan, rawatan veterinar dan penyediaan kandang yang selamat.

Sebaliknya, ia perlu merangkumi peluang untuk bergerak, meneroka, mencari makanan, berinteraksi secara sesuai, berehat dan membuat pilihan tanpa tekanan yang tidak perlu.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada pendekatan pengurusan DAK mengutamakan latihan berasaskan ganjaran dan kerjasama, bagaimana tekanan mereka dinilai sepanjang proses penyesuaian serta apakah protokol khusus bagi mengurus Kelat ketika melalui fasa musth.

Sharifah turut meminta penjelasan sama ada penilaian bebas dilaksanakan bagi mengukur perubahan tingkah laku, tahap tekanan dan kesejahteraan psikologi setiap gajah sebelum serta selepas pemindahan.

Kejayaan konservasi bukan sekadar pembiakan

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan program konservasi tidak sepatutnya diukur berdasarkan kelahiran anak gajah semata-mata.

Sebaliknya, program berkenaan perlu menunjukkan bagaimana pendekatan pengurusan yang digunakan dapat menyokong kesihatan, tingkah laku semula jadi dan kesejahteraan setiap haiwan.

Beliau berkata, pihak pengurusan juga perlu menjelaskan petunjuk prestasi yang ditetapkan untuk DAK, termasuk sama ada laporan pemantauan kebajikan mereka boleh dinilai pakar bebas.

“Jika Elephant Business Inc dipilih kerana kepakarannya, buktikan melalui rekod yang boleh dinilai, protokol pengurusan yang telus dan hasil kebajikan yang boleh disahkan secara bebas.

“Jika Perhilitan dan Zoo Taiping mempunyai pengalaman serta pengetahuan mengenai DAK, jelaskan mengapa kepakaran mereka tidak dijadikan asas yang lebih utama dalam menentukan pengurusan selepas pemindahan,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan Zoo Tennoji juga perlu bersedia mempertimbangkan kaedah alternatif sekiranya pendekatan semasa didapati tidak memenuhi keperluan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan.

Sharifah menegaskan bahawa tuntutan itu bukan bertujuan menolak kerjasama antarabangsa, sebaliknya memastikan setiap keputusan berkaitan DAK dibuat berdasarkan bukti, ketelusan dan penilaian kebajikan yang boleh disahkan secara bebas.

Scroll to Top