'Mengapa tidak tuntut nafkah, itu hak kita' – Adibah

'Mengapa tidak tuntut nafkah, itu hak kita' – Adibah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu tunggal juga bekas madu pelakon Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, 52, menyifatkan wanita yang bercerai harus berani ke depan membuat tuntutan nafkah kerana itu hak diri sendiri dan anak-anak.

Menurut Adibah yang mempunyai lima anak, ia berikutan sepanjang tempoh perkahwinan bersama bekas suami, Rosland Othman, 52, banyak pengorbanan sudah dilakukan merangkumi masa, tenaga, kasih sayang dan sebagainya untuk keluarga.

“Pada saya, mengapa tidak (tuntut nafkah) kerana itu hak kita (bekas isteri). Hak kita mengikut apa yang kita rasa dari segi masa, tenaga, kasih sayang.

“Sebagaimana, pada saya ia sudah menjadi bahagian dalam kehidupan kita selama bertahun itu. Termasuk, kita nak tuntut keadilan untuk anak-anak juga.

“Sebab ini semua rezeki anak-anak. ‘They don’t deserve this. Jadi, saya kena bertindak cepat,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Putrajaya, baru-baru ini.

Terdahulu, Adibah hadir ke mahkamah pada 16 Julai lalu bagi perbicaraan sebutan pertama kes tuntutan nafkah anak, nafkah iddah dan muta’ah yang difailkannya terhadap bekas suami pada 25 Jun lalu.

Adibah yang ditemani anak keduanya, diwakili peguam syarie, Nur Sakienah Hasnun Saifuddin dan sebutan kes diperdengarkan di hadapan Hakim Syarie, Dr Roziana Mat Amin.

Menurutnya, dia membuat tuntutan amaun yang setimpal kepada bekas suaminya mengikut pengorbanan dan tempoh perkahwinan dengan Rosland sebelum mereka bercerai.

“Saya rahsiakan jumlah tuntutan itu kerana terlalu ‘confidential’ (sulit) untuk dikongsi bagi menghormati kedua-dua belah pihak. Tapi, ia setimpal dengan pengorbanan dan tempoh usia perkahwinan,” katanya.

Sebelum ini, Adibah pernah berjuang hampir dua tahun untuk mendapatkan hak penjagaan anak kekal bagi tiga cahaya mata iaitu Nur Liyana, 20, Nur Anissa, 14, dan Nurin Tasnim, 13, selepas bekas suami memfailkan tuntutan hadanah pada 24 Mac 2023.

Wanita ini bagaimanapun bersyukur apabila dia akhirnya berjaya mendapatkan hak penjagaan anak kekal dari Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Adibah dan Rosland sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada 3 Ogos 2023.

Mereka sebelum itu sudah hidup bersama selama 28 tahun selepas mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan sepanjang tempoh perkahwinan berkenaan.

Bagaimanapun, Rosland yang juga ahli perniagaan berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan dua anak perempuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top