Menghayati sejarah Kedah

Menghayati sejarah Kedah

razis@mediaprima.com.my

TERKENAL dengan jolokan Jelapang Padi Malaysia, Kedah antara negeri di Malaysia yang kaya dengan sejarah dan budayanya.

Bagi menyingkap keunikan negeri ini, antara lokasi menarik perlu diberikan perhatian adalah Muzium Kota Kuala Kedah di Kompleks Kota Kuala Kedah bersebelahan dengan muara Sungai Kedah.

Baru-baru ini, penulis bersama ahli keluarga mengambil kesempatan berkunjung ke muzium ini selepas menghadiri satu program di kawasan berhampiran.

Ternyata kunjungan yang tidak dirancang ini berjaya membuka mata dan membawa kami mengenali sejarah Kedah dengan lebih dekat.

Fakta menarik mengenai Muzium Kota Kuala Kedah ialah pada suatu ketika dahulu, ia menjadi sebahagian daripada kubu pertahanan penting Kesultanan Kedah untuk mempertahankan negeri daripada serangan musuh dari laut kerana kedudukannya yang strategik di muara Sungai Kedah.

Sebaik tiba kami disambut dengan tembok batu yang dilihat masih berdiri teguh biarpun sudah berusia ratusan tahun.

Memasuki kawasan tembok batu itu, dari kejauhan kelihatan sebuah rumah lama berwarna putih dan beratap genting yang

tersergam indah dijadikan sebagai galeri muzium.

Penulis difahamkan, galeri muzium ini dibina pada tahun 1905 yang dahulunya berperanan sebagai Sekolah Melayu Kedah. Selepas roboh dipukul ribut, Jabatan Muzium dan Antikuiti (kini Jabatan Muzium Malaysia) mengambil inisiatif menjalankan kerja konservasi membina semula bangunan ini.

Pada tahun 1996, dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Kedah, bangunan berkenaan didirikan semula berkonsepkan reka bentuk asal dan dijadikan Muzium Kota Kuala Kedah.

Melangkah masuk ke Muzium Kota Kuala Kedah, penulis seolah-olah dibawa mengembara ke zaman prasejarah hingga ke era Kesultanan Kedah moden.

Pelbagai maklumat dengan visual menarik disediakan termasuk sejarah dan perkembangan Kota Kuala Kedah, pembinaan kubu, pembukaan Sekolah Melayu Kuala Kedah dan pendudukan Jepun di Kedah.

Di sini juga pengunjung dapat mempelajari mengenai Kesultanan Kedah termasuk salasilah diraja, sistem pemerintahan dan kehidupan sosial masyarakat Kedah pada zaman dahulu. Muzium ini turut menampilkan koleksi berkaitan sejarah maritim Kedah.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melihat koleksi artifak arkeologi yang ditemui di sekitar Kedah seperti syiling lama, serpihan seramik, tembikar dan logam.

Kira-kira 50 meter daripada Muzium Kota Kuala Kedah terdapat sebuah rumah api yang masih berdiri teguh biarpun dibina pada 1891.

Penulis difahamkan, rumah api yang dibiayai kerajaan Thailand pada zaman pemerintahan King Chulalongkorn itu masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini dan dikendalikan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia sebagai petunjuk kepada kapal yang melalui Selat Melaka.

Di kawasan sekitar muzium ini masih kelihatan tapak bangunan yang pada suatu ketika dahulu pernah berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan pendidikan seperti pejabat kerajaan, mahkamah serta kuarters Syahbandar.

Bagaimanapun, akibat perubahan dan peredaran masa di samping berlaku hakisan pada keseluruhan struktur asal menyebabkan kemusnahan dan hanya tinggal sebahagian tapak bangunan yang kelihatan sehingga kini.

Sebelum bergerak pulang, penulis sempat ke tebing Sungai Kedah untuk melihat feri dan bot nelayan yang keluar masuk.

Bagi penulis, kunjungan ke Muzium Kota Kuala Kedah dapat memberi pemahaman yang lebih jelas dan mendalam berkenaan sejarah dan warisan negeri ini.

Tanpa dikenakan sebarang bayaran, muzium yang kecil ini mampu menyediakan pelbagai maklumat sekali gus mengajak kita untuk lebih menghargai nilai sebenar sebuah keamanan dan kebebasan.

Sekiranya ke Kedah, masukkan Muzium Kota Kuala Kedah sebagai salah satu senarai destinasi yang wajib anda kunjungi. Ia pasti menjadikan percutian anda lebih bermakna!

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top