Kematian seseorang yang dikasihi sememangnya begitu menyedihkan hati. Apatah lagi apabila ia melibatkan ahli keluarga terdekat. Suara tangisan penuh hiba tentunya mewarna suasana pada sesebuah kematian.
Sesungguhnya, suara tangisan lambang kasih sayang terikat kukuh selama ini. Inilah juga yang saya alami ketika ayah mertua kesayangan pergi buat selama-lamanya menghadap Tuhan Maha Esa. Kami sekeluarga tidak mampu menyekat lelehan air yang mengalir di pipi petanda hati diselubungi dengan rasa sedih yang bukan kepalang.
Tangisan atas pemergian insan tersayang fitrah manusia dan Baginda Nabi SAW menangis kesedihan apabila putera kesayangan Ibrahim wafat. Asalkan kita tidak melampaui batas syarak dengan gaya sedih tidak keterlaluan, ia dikira masih dibenarkan kita berbuat demikian.
Sengaja saya bawa perhatian terhadap tema kematian kali ini bukan mahu memperincikan darihal sebelok belok kematian, tetapi lebih kepada ibrah dan hikmah di sebaliknya. Ini kerana menangis sekuat hatipun, yang sudah meninggal tidak dapat hidup kembali. Kita yang masih hidup perlu mengutip ibrah, mencungkil hikmah peristiwa kematian demi menimbulkan rasa insaf dalam diri.
Dalam Surah Al-Ankabut ayat 57, Allah berfirman yang bermaksud, “Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan kematian. Kemudian, hanya kepada Kami kamu dikembalikan.” Dalam kesibukan melayan keseronokan duniawi, ada masanya kita terlupa dengan apa yang telah firmankan itu sehingga berasa hidup di atas muka bumi seperti sedang mengecapi nikmati kekal abadi.
Maka, benarlah al-Quran itu panduan untuk kehidupan kita. Ya, ia memandu hala tuju kehidupan dunia agar tidak mudah lupa bahawa apabila tiba saatnya yang ditetapkan oleh Allah, maka jasad kita yang segar ini akan bergelar jenazah yang kaku.
Semasa mengusung jenazah ayahanda mertua untuk dimasukkan ke dalam van jenazah, tiba-tiba sahaja, kotak ingatan berputar kembali peristiwa berbual-bual dengan arwah semasa dia masih hidup lima tahun yang lalu. Waktu itu arwah kelihatan masih cergas dan aktif berkebun.
Ayahanda mertua ini ada memiliki tanah seluas 2 ekar yang dia penuhi dengan pelbagai tanaman seperti pokok mangga, durian, pokok pisang dan pelbagai lagi. Sehari ke sehari anak-anak pokok yang ditanamnya tumbuh membesar berkat kesuburan tanah yang mungkin bersesuaian dengan ‘kehendak pokok buahan.’
Satu ketika semasa bercuti dan balik ke rumah ayahanda mertua itu yang terletak di Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Simpang Renggam, Johor saya pasti mengambil ruang dan peluang turun sama menyingsing lengan bermain panas untuk aktiviti berkebun.
Pernah saya mengajukan persoalan kepadanya, ‘Ayah, sudah banyak pokok yang ayah tanam ni. Cukuplah tu ayah. Bagilah kepada anak-anak pula untuk menyambung aktiviti berkebun ini.’ Sambil melerek senyuman, arwah berkata, ‘Rizal, ayah tanam pokok-pokok ini bukan untuk ayah rasa hasilnya. Tidak Rizal, kerana ayah sedar yang ayahpun sudah tidak lama lagi tinggal atas dunia. Jadi, pokok-pokok ini ayah tinggalkan sebagai harta buat anak cucu ayah. Ayah bukannya orang yang berharta banyak dan harap-harap usaha ayah ini akan menjadi sedekah jariah buat semua ahli keluarga yang ayah tinggalkan nanti.’
Saya tertunduk sedih dengan kata ungkapannya seolah-olah dia sudah meramal usianya kian hampir ke penghujung. Sambil memegang erat pada sekujur jenazah yang berkain kafan putih, sempat juga saya menoleh ke arah pokok yang kian membesar hasil keringat arwah semasa hidupnya.
Kisah arwah ayahanda mertua saya itu membuatkan ingatan kepada sirah sahabat Nabi SAW yang bernama Ibnu Mas’ud yang dilaporkan ada seorang sahabatnya bertanya, ‘Wahai Ibnu Mas’ud, mengapakah kamu masih menanam pokok ini, sedangkan kamu sudah berusia lanjut dan tidak sempat merasai buahnya nanti?’
Ibnu Mas’ud langsung tidak berkecil hati dengan soalan sahabatnya itu, sebaliknya beliau menjawab tenang, ‘Sahabat, saya tanam pokok ini bukan untuk saya nikmati hasilnya, Saya sedar umurku sudah lanjut, tetapi semua pokok ini sedekah untuk orang yang hidup kemudiannya.’
Putaran kenangan semasa arwah masih hidup dulu membuatkan air mata kian bergenang di kelopak mata lalu menimbulkan insaf diri bahawa ketika nyawa masih dikandung badan, buatlah amalan kebaikan sebaiknya sebagai bekalan di akhirat, negeri abadi kita. Sedekah jariah seperti menanam pokok buah-buahan adalah lambang bakti untuk yang hidup. Insya Allah, ia bukan sia-sia malah bakal menjadi talian hayat di alam barzakh dan seterusnya di negeri abadi kita nanti.
Baginda Nabi SAW ada menerangkan kepada kita dengan sabdanya, “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis riwayat Muslim, al-Nasa’i, at-Tirmizi dan Abu Daud)
Hadis Baginda SAW itu benar-benar mengimbau kembali usaha tanpa kenal penat arwah ayahanda mertua dulu yang begitu bersemangat mahu tinggal harta berbentuk pokok-pokok buahan buat dijadikan sedekah jariah. Impiannya menjadi nyata tatkala dia sudah tiada dan insya-Allah anak cucunya dan sesiapa sahaja yang akan menikmati hasil jerit peritnya semasa hidup. Saya yakin tanamannya itu menjadi antara sumber bekalan untuk kehidupan abadi di akhirat.
Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dicuri daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh binatang liar dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh burung dikira sebagai sedekah. Tidaklah seseorang bercucuk tanam kecuali dia akan mendapat (pahala) sedekah daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tanpa sedar ingatan saya terhenti tatkala van jenazah arwah ayahanda mertua sudah sampai di kawasan tanah perkuburan. Tanpa henti, hati saya berdoa tanpa suara, ‘Ya Allah, Engkau ampunkanlah segala dosanya, tempatkanlah dia dalam kalangan hamba-Mu yang beriman dan bertakwa, dan jadikanlah setiap pokok yang ditanamnya dulu sebagai sedekah jariah berpahala besar di sisi-Mu, Ya Allah.’
Kematian adalah madrasah mendidik hati dan jiwa.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
© New Straits Times Press (M) Bhd




