Mengucap panjang nampak api menjulang

Mengucap panjang nampak api menjulang

am@hmetro.com.my

Sik: “Saya mengucap panjang sebaik ternampak api menyambar pusat servis tayar kerana tak pernah lihat api besar seperti itu sebelum ini.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan untuk bersahur bersama rakan-rakan di Pekan Jeniang dengan menaiki motosikal dan tidak lama kemudian, banyak jentera bomba sampai untuk padam kebakaran,” kata Mohd Iqbal Mohd Rais, 20.

Mohd Iqbal berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi hari ini dan ketika itu juga tidak banyak kenderaan melalui kawasan terbabit.

Katanya, mujur tiada orang dalam premis itu ketika kejadian dan tindakan pantas bomba memadam api berjaya menyelamatkan premis berhampiran dari musnah.

“Bila tengok api menjulang tinggi, memang takut .Dengan asap tebal kerana saya tak pernah tengok api besar macam ni,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian itu, sebuah pusat servis tayar dan kereta serta 13 motosikal di kedai motosikal simpang tiga Pekan Jeniang di sini, musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Zon 2, Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.18 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan Prak Prom Keu tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Operasi turut dibantu BBP Guar Chempedak dan keseluruhan anggota membabitkan seramai 18 orang selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Selambau dan Jeniang seramai 12 orang.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah kedai tayar dua tingkat dan mengarahkan BBP Sik serta BBP Guar Chempedak ke lokasi kebakaran.

“Anggaran kemusnahan adalah 95 peratus daripada keseluruhan bangunan kedai manakala sebuah kedai servis motosikal satu tingkat turut terbakar 30 peratus yang mengakibatkan 13 motosikal pelbagai jenis terbakar 85 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, kebakaran itu turut menyebabkan dua forklift terbakar 50 peratus dan dua kontena yang berada di tepi bangunan kedai terbakar 90 peratus.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam premis itu dan api berjaya dikawal sepenuhnya jam 3.49 pagi.

“Kerja-kerja overhaul turut dilakukan dan operasi tamat pada jam 6 pagi,” katanya.

Johari berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top