Meninggal dunia kurang 8 jam sebelum majlis pertunangan

Meninggal dunia kurang 8 jam sebelum majlis pertunangan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Hari ini yang sepatutnya menjadi detik bahagia buat pasangan dua sejoli ini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan.

Mengikut rancangan, Mohamad Shahrin Mohd, 33, sepatutnya melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, Ain Sofea Aminu Nansar, 25, kira-kira 3 petang tadi, namun majlis itu terpaksa dilupakan selepas lelaki berkenaan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi.

Dalam kejadian itu, motosikal ditunggang Mohamad Shahrin dari arah bandar menghala ke rumahnya di Kampung Duyong Kecil dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan di kiri jalan.

Ain Sofea berkata, dia tidak menyangka pertemuan mereka pada malam sebelumnya menjadi kenangan terakhir sebelum menerima berita duka.

“Semalam saya sempat menemui arwah dan menghantar baju untuk dipakainya hari ini… pada hari pertunangan kami. Tak sangka dia langsung tidak sempat memakainya,” katanya yang memaklumkan majlis pertunangan dirancang diadakan di rumah keluarganya di Kampung Manir.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pertemuan terakhir mereka dan hanya berkelakuan seperti biasa.

“Saya reda dengan ketentuan ini walaupun sedih kerana kami tidak sempat bertunang,” katanya.

Sementara itu, abang Mohamad Shahrin, Mohamad Hafiz, 36, berkata, dia mengesan kelainan ditunjukkan adiknya pada Syawal pertama apabila bersungguh mahu bergambar dengan semua ahli keluarga.

“Sebelum ini arwah dikenali sebagai seorang yang susah nak bergambar, tetapi hari itu dia yang beria-ia ajak semua anak saudara untuk bergambar bersama. Mungkin itu petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cengal, Pulau Duyong.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan kemalangan maut membabitkan Mohamad Shahrin yang menunggang motosikal Honda Beat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top