rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Jalan Utara di sini, pada Rabu lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia hari ini selepas empat hari bertarung nyawa di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan antara sebuah kereta dan motosikal pada 6.01 petang.
“Penunggang motosikal yang mengalami kecederaan dibawa ke PPUM untuk rawatan.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan sudah membuat laporan polis pada hari kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Shahrulnizam berkata, polis menerima maklumat bahawa mangsa meninggal dunia kira-kira 2 pagi ini.
Berikutan itu, katanya, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 41(1) akta sama.
Beliau meminta individu yang melihat atau berada di lokasi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M Sivam di talian 017-3290749 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalurkan maklumat palsu mengenai sebarang kejadian dan menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang.
Katanya, polis tidak berkompromi dengan individu yang memandu secara merbahaya dan akan mengambil tindakan tegas.
© New Straits Times Press (M) Bhd