Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberikan penjelasan segera berhubung kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly selepas 11 hari berada dalam tahanan polis.

Memetik laporan MalaysiaGazette, menurutnya, pendedahan peguam keluarga mengenai penemuan 21 kecederaan pada tubuh lelaki berusia 42 tahun itu menimbulkan persoalan yang memerlukan jawapan pihak berkuasa.
Beliau turut mempersoalkan perkembangan siasatan kes berkenaan selepas Noorizwan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu, susulan penahanannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Pendedahan peguam keluarga mengenai kecederaan berkenaan amat mengejutkan dan timbul persoalan serius mengenai keselamatan individu dalam tahanan serta tanggungjawab pihak berkuasa.
“Sudah lebih 10 hari kematian Allahyarham berlalu, namun keluarga masih belum menerima penjelasan yang memuaskan mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, pada 7 Oktober, peguam Lawyers for Liberty (LFL), N. Surendran menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kematian Noorizwan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Surendran, desakan itu dibuat berikutan penemuan kecederaan serius pada tubuh Noorizwan, yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Tun Faisal memaklumkan bahawa keluarga Allahyarham dijadualkan mengadakan himpunan aman pada Sabtu ini untuk menuntut keadilan serta mendapatkan penjelasan mengenai kematian berkenaan.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjawab persoalan keluarga tentang perkara yang berlaku sepanjang Noorizwan berada dalam tahanan.
“Saya berharap pihak berkuasa tampil memberikan penjelasan sewajarnya bagi memastikan keluarga tidak terus tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku kepada allahyarham ketika dalam tahanan.
“Kebenaran perlu ditegakkan dan keluarga berhak mendapat jawapan berhubung kematian Noorizwan,” katanya lagi.
Sumber: MalaysiaGazette (Nizam Zain)




