Meninjau sepintas lalu konsep keadilan

Keadilan Islam Dalam Lipatan Sejarah (Siri 1)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

KEADILAN adalah satu perkataan yang mempunyai makna yang luas dan petunjuk yang mendalam. Ia bermaksud menyampaikan hak kepada empunyanya tanpa kurang. Ia juga bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Keadilan menjadi tajuk penting dalam mesej yang dibawa oleh para nabi dan rasul. Ia juga menjadi prinsip kemanusiaan sejagat yang diperjuangkan oleh para pemimpin yang ikhlas.

Keadilan juga menjadi asas neraca tegaknya langit dan bumi, serta segala yang wujud di alam ini. Semua yang terbit, muncul, tenggelam, hidup, mati dan bergerak berada di bawah kekuasaan Tuhan Yang Maha Adil.

Advertisement

Keadilan juga menjadi kayu ukur maju atau mundur sesuatu tamadun dan umat. Ia menjadi penilai samada tamadun dan umat itu bahagia atau sebaliknya. Apabila keadilan tegak di kalangan manusia, hidup mereka aman sentosa. Hati mereka bahagia. Pemikiran mereka sejahtera. Jasmani dan rohani mereka tidak menderita. Kesan berlakunya adil ada di mana-mana dan merata-rata.

Sebaliknya apabila keadilan tidak ditegakkan di kalangan masyarakat, patah tiangnya, nescaya hidup mereka dipenuhi kezaliman. Hati mereka tidak tenteram. Hubungan sesama manusia penuh dendam. Hilanglah sifat semula jadi baik seorang insan. Kesan ketidak-adilan merobek seluruh tempat dan institusi dalam masyarakat secara negatif.

Umat juga hilang kekuatan, tiada kemuliaan, melainkan apabila kezaliman dicampak jauh-jauh dari individu hingga kepada pemimpin.

Justeru, keadilan adalah prinsip kemanusiaan yang tinggi yang mesti diperjuangkan, sekalipun berbeza pendekatan yang digunakan.

Dalam sejarah manusia, banyak cara digunakan untuk menegakkan keadilan, dengan melihat kepada adat resam, sosiobudaya, latar belakang masyarakat, hubungan dengan yang lain dan sebagainya.

Ada yang membalas dendam, kononnya untuk menegakkan keadilan. Ini pernah berlaku dalam masyarakat Arab jahiliah. Ada yang berbuat zalim terhadap orang lain, kononnya juga untuk menegakkan keadilan. Ada juga yang menurut kaedah matlamat menghalalkan cara.

Ringkasnya, manusia melakukan pelbagai perkara, menggunakan macam-macam cara untuk menegakkan keadilan, menurut pandangan dan kefahaman masing-masing.

Yang pasti, apabila keadilan itu cuba ditegakkan, tidak menurut kehendak Tuhan Yang Maha Adil, dan tidak mengikut jejak rasul yang berlaku adil, maka sebenarnya bukan keadilan yang tegak, bahkan kezaliman yang memuncak. – HARAKAHDAILY 15/7/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu