
Pei Kee (kiri) dan Mei Xing mahu fokus tingkatkan keyakinan diri dan kekuatan mental.
PEMAIN beregu wanita negara, Go Pei Kee enggan terlalu memikirkan mengenai sasaran untuk pergi jauh pada penampilan pertama kejohanan berprestij, Badminton Dunia 2025 di Paris akhir bulan ini.
Sebaliknya beliau yang bergandingan bersama Teoh Mei Xing hanya mahu memberi fokus kepada kekuatan mental dan meningkatan keyakinan diri untuk menyaingi kelompok pemain terbaik dunia.
Justeru Pei Kee bertekad untuk berusaha lebih gigih untuk memastikan benar-benar bersedia beraksi dengan permainan yang lebih cemerlang.
“Saya tidak mahu fikir banyak. Fokus utama kepada sesi latihan untuk mendapatkan keyakinan diri dan memastikan mental benar-benar di tahap tertinggi.
“Apapun saya akan berikan yang terbaik, lebih-lebih lagi ini adalah penyertaan pertama pada Kejohanan Dunia,” katanya.
Kejohanan berprestij tersebut dijadual berlangsung di Adidas Arena bermula pada 25 hingga 31 Ogos.
Dalam pada itu, Mei Xing yang bakal beraksi kali ketiga di pentas dunia itu turut senada bahawa kekuatan mental sangat penting untuk mereka beraksi tanpa sebarang tekanan tinggi sekali gus boleh mengelak kesilapan mudah.
Tambahnya, pada kejohanan sebelum ini, mereka berjaya mendahului tetapi gagal mengekalkan kelebihan mata dan ia membuka peluang buat lawan memenangi perlawanan.
“Banyak situasi sebelum ini berlaku kerana mental kami tidak cukup kuat. Jadi, kami memang sedang memberikan tumpuan penuh untuk memperbaiki perkara itu.
“Malah kali ini kami berasa bernasib baik kerana mendapat ‘bye’ di pusingan awal. Kami sudah diberikan peluang, jadi kami perlu merebutnya sebaik mungkin,” katanya.
Dalam saingan pusingan kedua, pasangan ke-18 dunia dijangka menentang wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.