Menteri Dalam Negeri persembah Agong nama calon KPN, Timbalan KPN

Menteri Dalam Negeri persembah Agong nama calon KPN, Timbalan KPN

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipercayai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara bagi mempersembah nama Ketua Polis Negara yang baharu, hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan sesi itu diadakan pada pukul 2 petang bagi mempersembah cadangan nama Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.

Sumber berkata, Tan Sri Acryl Sani Abdullah sani yang dikatakan bersara pada awal Julai ini namun akan mengundur daripada jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis ini. 

Turut difahamkan beberapa nama dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisi jawatan nombor satu dalam PDRM selepas Acryl Sani dijangka bersara lusa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Acryl Sani.

Malah, difahamkan empat nama turut dipersembah bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antaranya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd. Kamaruddin Md. Din dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Difahamkan, Acryl Sani bakal dilantik mengetuai institusi membanteras kewangan di bawah sebuah kementerian.

Acryl Sani yang menerajui PDRM selepas mengambil alih jawatan berkenaan dari Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Jun 2021 sepatutnya mengakhiri tugasnya secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara pada Oktober depan namun memutuskan untuk bersara lebih awal. – UTUSAN