
Rakaman perbuatan melangkaui batas itu yang menjadi tular di media sosial.
BAITULMAQDIS – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir sekali lagi bertindak biadab menceroboh pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) di Baitulmaqdis dan melakukan upacara keagamaan di sana meskipun perbuatan sedemikian dilarang sama sekali.
Tindakan provokasi itu dilakukan beberapa hari selepas komuniti antarabangsa menggesa penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel–Palestin.
Rakaman video yang dikongsi kumpulan pelampau Yahudi, Temple Mount Administration, menunjukkan Ben-Gvir mengetuai kumpulan ekstremis melakukan perbuatan yang mencemari kesucian al-Aqsa.
Pencerobohan itu dilakukan kononnya sempena hari Tisha B’av yang memperingati kemusnahan dua kuil purba Yahudi di tapak tersebut beberapa abad lalu.
Yayasan Wakaf yang mentadbir kompleks berkenaan memaklumkan bahawa kumpulan terdiri daripada lebih 1,200 pelampau Yahudi itu menjerit-jerit dan turut menari di Haram al-Sharif.
Ben-Gvir menerusi satu kenyataan dengan angkuh berkata, beliau berdoa untuk kemenangan Israel dalam perang di Gaza selain mengulangi desakan agar menakluki seluruh wilayah berkenaan.
Sehingga Ahad, tiada protes ganas dilaporkan sebagai membantah tindakan pencerobohan itu.
Sementara itu, jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk provokasi melampau tersebut yang disifatkan sebagai melangkaui batas.
“Komuniti antarabangsa, terutamanya pentadbiran Amerika Syarikat (AS), perlu campur tangan segera bagi menghentikan tindakan kerajaan sayap kanan Israel yang melanggar status quo,” tegas Nabil Abu Rudeineh yang turut menuntut penamatan perang di Genting Gaza serta memberi akses kepada penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu. – Agensi