Menteri Iceland ada anak dengan remaja letak jawatan

Menteri Iceland ada anak dengan remaja letak jawatan

Menteri Iceland ada anak dengan remaja letak jawatan

Asthildur Loa Thorsdottir, meletak jawatan secara mengejut selepas mengakui pernah melahirkan anak hasil hubungan dengan seorang remaja lelaki. – Agensi

REYKJAVIK – Menteri Kanak-Kanak Iceland, Asthildur Loa Thorsdottir, meletak jawatan secara mengejut selepas mengakui pernah melahirkan anak hasil hubungan dengan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, lebih 30 tahun lalu.

Menurut laporan media tempatan RUV, Thorsdottir, 58, membuat pengakuan itu selepas menerima tekanan berikutan pendedahan mengenai hubungan sulitnya ketika berusia 22 tahun dengan seorang remaja yang merupakan ahli kumpulan gereja tempat beliau menjadi kaunselor.

Thorsdottir mengakui bahawa dia melahirkan anak remaja itu ketika berusia 23 tahun, malah remaja berkenaan, Eirík Asmundsson, turut berada di bilik bersalin semasa kelahiran bayi tersebut.

Lebih mengejutkan, Asmundsson didakwa terpaksa membayar nafkah anak selama 18 tahun, meskipun Thorsdottir dikatakan menghalangnya daripada bertemu anak mereka secara kerap selepas dia berkahwin dengan lelaki lain.

“Saya faham bagaimana perkara ini kelihatan,” kata Thorsdottir yang mempertahankan dirinya dan mendakwa sukar untuk mendapatkan gambaran sebenar dalam laporan media pada hari ini.

Beliau turut mengakui jika situasi sama berlaku sekarang, dia akan menangani perkara itu dengan cara berbeza kerana banyak perubahan telah berlaku dalam tempoh 36 tahun.

Di Iceland, usia minimum untuk persetujuan seksual ialah 15 tahun, namun undang-undang melarang hubungan seksual dengan individu bawah 18 tahun jika seseorang itu merupakan guru atau mentor mereka.

Tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terhadap kes ini atau tidak.

Thorsdottir mengumumkan peletakan jawatan selepas dipanggil oleh Perdana Menteri Iceland, Kristrun Frostadottir.

“Ini adalah isu peribadi. Demi menghormati individu yang terlibat, saya tidak akan mengulas lanjut,” kata Kristrun.

Bagaimanapun, Thorsdottir menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk melepaskan jawatannya sebagai anggota Parlimen. – Agensi

Scroll to Top