Menteri Itali berang sos karbonara tidak ikut resepi asli dijual di Parlimen Eropah

Menteri Itali berang sos karbonara tidak ikut resepi asli dijual di Parlimen Eropah

Brussels: Sebotol sos karbonara yang dijual di bangunan Parlimen Eropah mencetuskan kemarahan rakyat Itali selepas didapati tidak menggunakan ramuan sebenar hidangan klasik itu, lapor South China Morning Post.

Menteri Pertanian Itali, Francesco Lollobrigida, meluahkan ketidakpuasan hatinya minggu ini selepas memuat naik gambar produk berkenaan di media sosial.

Menurutnya, sos terbabit mengandungi pancetta iaitu produk daging babi seakan bacon yang dianggap ‘kesalahan besar’ dalam dunia masakan Itali.

Beliau berkata, produk seperti itu sering mengaburi pengguna dengan menggunakan nama Itali walaupun tidak menepati resepi sebenar.

“Ia tidak boleh diterima berada di rak pasar Parlimen Eropah. Saya sudah minta siasatan dimulakan segera,” katanya.

Pemimpin parti sayap kanan Brothers of Italy, yang juga Ahli Parlimen Carlo Fidanza turut mengecam penggunaan bendera Itali dan nama bernuansa Itali pada produk yang dikatakan langsung tiada kaitan dengan negara itu.

Beliau juga mengesahkan sudah menulis kepada Presiden Parlimen Eropah bagi membantah perkara itu.

Namun, reaksi lantang dari Itali itu mengejutkan rangkaian pasar raya Belgium, Delhaize, pengedar utama produk berkenaan.

Menurut jurucakap pasar raya itu, pihaknya agak terkejut dengan reaksi dan perhatian media terhadap sos pasta jenama itu.

“Nama serta pembungkusan produk itu mematuhi semua peraturan sedia ada. Pihak berkuasa juga telah menjalankan pemeriksaan rasmi terhadap pembekal dari Itali dan tidak menemui sebarang pelanggaran.

“Kami tidak melihat apa-apa sebab untuk mengubah produk atau pembungkusannya. Ia akan terus dijual seperti biasa,” kata Delhaize.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top