Menteri jumpa Hamidin bincang isu bola sepak negara

Menteri jumpa Hamidin bincang isu bola sepak negara

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Ami bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkembangan bola sepak negara.

Menerusi hantaran di Facebook FAM, Hamidin berkata, pertemuan itu juga turut membincangkan secara lebih terperinci mengenai perkembangan terkini bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai serta pembangunan pengadil.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai pembangunan akar umbi bola sepak negara dan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).

Beliau berkata, selain bola sepak, mereka turut bertukar input serta pandangan berkaitan sukan di Malaysia secara umumnya.

“YB (Yang Berhormat) Hannah bukan sahaja menunjukkan minat dalam bola sepak tetapi nampak begitu meminati sukan secara keseluruhannya.

“Beliau ingin mengetahui segalanya tentang bola sepak dan sedikit sebanyak sudah saya terangkan kepada beliau,” katanya. – MalaysiaGazette