Menteri Luar ASEAN gesa Israel, Hamas terima Resolusi 2735

Menteri Luar ASEAN gesa Israel, Hamas terima Resolusi 2735

Farah Marshita Abdul Patah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Luar ASEAN menggesa semua pihak berkepentingan di Gaza menerima cadangan gencatan senjata seperti yang digariskan dalam perenggan 2 Resolusi 2735 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Terdahulu, gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Menteri Luar ASEAN menyuarakan kebimbangan besar terhadap ketegangan berterusan di Asia Barat.

Menteri Luar ASEAN menyeru semua pihak berkepentingan supaya mengamalkan sikap berhemah, mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan keadaan, menyelesaikan perbezaan melalui saluran diplomasi dan dialog demi mengekalkan keamanan serta kestabilan di rantau berkenaan.

“Kami menyeru supaya satu gencatan senjata dilaksanakan serta-merta dan secara kekal, serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan, khususnya wanita, kanak-kanak, orang sakit dan warga emas,” katanya.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 menggariskan cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat (AS), yang menggesa kepada gencatan senjata segera, kekal dan berkesan.

Ia termasuk pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, selain menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula wilayah itu.

Dalam kenyataan itu, Menteri Luar ASEAN turut mengulangi sokongan terhadap Kerja Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Mereka menggesa semua negara anggota dan rakan-rakan luar mereka untuk terus menyediakan serta memudahkan bantuan kepada Gaza.

“Kami menyeru supaya akses kemanusiaan disambung sepenuhnya dengan segera, selamat, tanpa halangan dan berterusan kepada semua yang memerlukan, termasuk melalui peningkatan kapasiti di pintu masuk sempadan, termasuk melalui laut.

“Kami menyeru semua pihak yang terbabit dalam konflik untuk melindungi orang awam dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Menteri Luar ASEAN berkata, sebahagian daripada mereka menekankan kepentingan, perintah langkah sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024.

“Kami turut mengakui pendapat Penasihat ICJ bertarikh 19 Julai 2024, yang antara lain menyatakan bahawa PBB, khususnya Perhimpunan Agung yang meminta pendapat dan Majlis Keselamatan, harus mempertimbangkan kaedah sesuai dan tindakan selanjutnya yang diperlukan bagi menamatkan secepat mungkin kehadiran haram Israel di Wilayah Palestin yang diduduki.

“Dalam konteks ini, kami menegaskan semula kepentingan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top