Tehran: Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi dan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty, pada Khamis menggesa negara-negara Islam mengambil tindakan berkesan bagi menghentikan genosid serta memastikan penghantaran segera bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, lapor Xinhua.
Gesaan itu dibuat dalam panggilan telefon pada Khamis malam ketika mereka bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan serius di wilayah Palestin itu serta rancangan agresif Israel untuk memperhebat serangan dan menguasai sepenuhnya Gaza, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Iran pada Jumaat.
Hampir dua tahun sejak konflik Palestin-Israel tercetus, Gaza kini berdepan kebuluran dan kepungan. Sekurang-kurangnya 61,258 orang maut dan 152,045 lagi cedera sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza.
Namun, rundingan gencatan senjata terhenti, dengan Israel meluluskan rancangan untuk mengambil alih Bandaraya Gaza.
Dalam panggilan telefon itu, yang merupakan kali kedua minggu ini, kedua-dua menteri turut meneliti situasi di Lubnan, menekankan keperluan mengekalkan suasana saling percaya dan kerukunan dalaman antara parti-parti politik di negara Arab itu serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dalaman.
Mereka menyifatkan pengunduran sepenuhnya Israel dari wilayah selatan Lubnan yang diduduki serta penghentian serangan Israel sebagai langkah yang perlu, menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd